MUHAMMAD Rasul komited jalani latihan tanpa bimbingan jurulatih.
MUHAMMAD Rasul komited jalani latihan tanpa bimbingan jurulatih.
Redzuan Muharam

Mempunyai komitmen kerja sebagai jurulatih kecergasan peribadi di pusat gimnasium tidak menghalang bekas atlet mendayung negara, Muhammad Rasul Zahiri untuk aktif dalam sukan multisport yang baru diceburinya sejak tahun lalu.

Kesungguhan pemuda berasal dari Dengkil, Sepang ini juga terbukti apabila komited memperuntukkan masa selama satu jam setiap hari bagi menjalani latihan sendiri meskipun tidak mendapat bimbingan jurulatih.

Muhammad Rasul berkata, banyak yang perlu dipelajarinya namun dia lebih senang memandang cabaran itu dari sudut positif.

“Banyak pengalaman dan kejayaan yang pernah saya kecapi sepanjang menceburi sukan mendayung antaranya dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2013, Sukan Sea Myanmar 2013 dan beberapa kejohanan lain.

“Malah, sukan mendayung juga meninggalkan kenangan manis selain peluang untuk merangkul pelbagai anugerah ketika menuntut di Politeknik.

“Namun, saya tidak mahu berada di zon selesa dan itu antara faktor yang mendorong untuk beralih kepada sukan multisport kerana sukakan cabaran,” katanya.

MUHAMMAD Rasul.
MUHAMMAD Rasul.

Berbanding sukan mendayung, Muhammad Rasul berkata, pembabitan dalam multisport lebih mencabar kerana membabitkan pelbagai rutin dalam satu masa antaranya berlari, berenang dan berbasikal bergantung kepada acara yang disertai.

Jadi, kekuatan stamina amat penting bagi memastikan dia sentiasa cergas dan bertenaga terutama ketika turut serta dalam mana-mana kejohanan.

“Sukan multisport ini terbahagi kepada tiga acara iaitu duathlon, triathlon dan Ironman yang mana perbezaannya adalah dari segi rutin dan jarak.

“Setiap acara itu mempunyai kesukarannya yang tertentu namun paling mencabar adalah Ironman kerana jaraknya yang jauh sehingga 140 kilometer (km) untuk renang, larian dan berbasikal.

“Buat masa ini, tumpuan saya adalah dalam acara duathlon kategori sprint namun memasang impian untuk menyertai acara penuh Ironman sebelum usia 30 tahun,” katanya.

Menurut Muhammad Rasul, dia sepatutnya menyertai Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Afrika Selatan pada September depan namun terpaksa melepaskan peluang keemasan itu kerana tiada dana selain tidak mendapat tajaan untuk ke sana.

Bagaimanapun, Muhammad Rasul berkata, dia tidak akan berputus asa sebaliknya akan terus berusaha supaya dapat mewakili negara dalam kejohanan peringkat antarabangsa satu hari nanti.

MAHU sokongan semua pihak.
MAHU sokongan semua pihak.

“Keluarga termasuk isteri banyak memberi dorongan sejak awal saya aktif dalam bidang sukan jadi ia memberi semangat untuk terus memberikan yang terbaik.

“Seterusnya, mencapai sasaran peribadi untuk tidak hanya bersaing di dalam negara malah ke peringkat lebih jauh.

“Namun, sokongan pihak luar juga amat penting dan sebagai atlet, saya berlapang ada jika ada yang sudi memberikan tajaan untuk saya mengembangkan lagi bakat dalam sukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 1:04 PM