TANJUNG Rhu antara lokasi popular sukan dan rekreasi di Langkawi.
TANJUNG Rhu antara lokasi popular sukan dan rekreasi di Langkawi.
ACARA larian denai turut diadakan di Langkawi.
ACARA larian denai turut diadakan di Langkawi.
Hafiz Ithnin


Jika dulu kita bercerita mengenai Pulau Langkawi, sudah tentu terbayangkan panorama perairan indah pertemuan antara Laut Andaman dan Selat Melaka yang menjadi tarikan pelancong.

Hakikatnya pada hari ini, tarikan Langkawi bukan sekadar keunikan panorama dan kisah legenda Mahsuri, malah ia diperluas kepada lokasi sukan rekreasi antarabangsa.

Tidak boleh dinafikan lagi, baru-baru ini sukan rekreasi lasak terkemuka dunia, Ironman memilih Pulau Langkawi sebagai destinasinya untuk tahun 2017.

Ironman adalah sukan rekreasi yang menggabungkan tiga disiplin utama iaitu larian sejauh 42 kilometer (km) renang 3.8km dan berbasikal 180km yang sekali gus menjadi tumpuan atlet sukan lasak dunia untuk mencabar kemampuan masing-masing.

Lokasi cabarannya juga tidak boleh diadakan di dalam sebuah kompleks sukan tertutup tapi alam semula jadi adalah platform utama setiap disiplin diadakan.

Sebagai entiti penggerak pembangunan Pulau Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memainkan peranan penting bagi mengetengahkan aktiviti sukan rekreasi lasak sebagai produk baru dalam sektor pelancongan pulau berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azizan Noordin berkata, setiap tahun secara purata terdapat lima acara sukan lasak diadakan di Langkawi yang dianjurkan penganjur tempatan dan antarabangsa.

“Antara faktor Langkawi menjadi perhatian penganjuran sukan rekreasi lasak iaitu pulau ini cukup terkenal dengan pelbagai bentuk muka bumi yang terdiri daripada pantai dan hutan hujan tropika, iklim panas dan lembap sepanjang tahun.

“Selain itu, faktor keterhubungan juga penting kerana untuk ke Langkawi pelancong boleh melalui jalan darat seterusnya menggunakan feri untuk ke sini. Malah, terdapat 265 kali penerbangan ke Pulau Langkawi dari Kuala Lumpur dan Singapura yang juga memudahkan pelancong,” katanya.

Apatah lagi Pulau Langkawi mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Geopark Global.

Selain menjadi pendorong tarikan pelancong dalam segmen sukan lasak sekali gus dapat membantu merancakkan industri pelancongan di pulau terbabit.

Azizan berkata, Pulau Langkawi juga mampu menyediakan kemudahan hotel yang mencukupi untuk acara sukan rekreasi antarabangsa memandangkan terdapat 11,939 bilik bagi hotel bertaraf tiga dan empat bintang.

Katanya, bagi memastikan persekitaran Pulau Langkawi terus terpelihara daripada sebarang kerosakkan, LADA sentiasa memantau dan melaksanakan kerja pemuliharaan dari masa ke masa seiring dengan keperluan diperuntukkan UNESCO.

“Dari segi mempromosikan Langkawi sebagai destinasi penganjuran sukan rekreasi lasak antarabangsa, LADA juga menyertai aktiviti bidaan di luar negara untuk membolehkan acara bertaraf dunia diadakan di pulau ini.

“Pada tahun ini, kami berjaya mendapat bidaan membawa masuk Ironman yang berlangsung pada 11 November lalu dan pada 25 November ini, Oceanman pula menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi kejohanan mereka,” katanya.

Antara acara sukan rekreasi lasak diadakan di Langkawi sepanjang 2017 ialah Tuba Trail Run, Geopark Run, Ironman dan Oceanman dijangka menarik lebih 5,000 pelancong dalam dan luar negara untuk segmen sukan rekreasi ke pulau berkenaan sekali gus dapat menjana pendapatan rakyat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 12:44 PM