PENDUDUK kampung mengibarkan Jalur Gemilang.
PENDUDUK kampung mengibarkan Jalur Gemilang.
MOHD NOOR (kanan) bersama pengurus kolam ikan dan ayam kampung, Abdul Aziz Arifin (tengah) menunjukkan anak ikan yang dipelihara sempena semangat pertandingan.
MOHD NOOR (kanan) bersama pengurus kolam ikan dan ayam kampung, Abdul Aziz Arifin (tengah) menunjukkan anak ikan yang dipelihara sempena semangat pertandingan.
SEORANG penduduk kampung, Isa Wan Said yang membawa rumput dirakam berlatarbelakangkan Jalur Gemilang.
SEORANG penduduk kampung, Isa Wan Said yang membawa rumput dirakam berlatarbelakangkan Jalur Gemilang.
PEMUAFAKATAN dan semangat kemerdekaan turut dirasai di restoran terapung ini.
PEMUAFAKATAN dan semangat kemerdekaan turut dirasai di restoran terapung ini.
 PENDUDUK kampung berkumpul berhampiran logo yang diberi nama Takang Madani.
PENDUDUK kampung berkumpul berhampiran logo yang diberi nama Takang Madani.
MENGABADIKAN kenangan bersama kain rentang bukti kemenangan.
MENGABADIKAN kenangan bersama kain rentang bukti kemenangan.
Hazira Ahmad Zaidi


Kira-kira 100 tahun lalu, Kampung Takang adalah kawasan yang dikelilingi hutan tebal, tanah berpaya lumpur, pokok besar, dihuni binatang buas dan berbisa.

Namun, peredaran masa menjadikan kampung berkenaan sebuah penempatan indah yang dihuni 611 penduduk.

Kampung berkenaan kini semakin dikenali apabila menyertai Pertandingan Anugerah Desa Perdana 2017 dan mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Takang, Mohd Noor Abdullah, 66, berkata, kampung itu memperoleh nama menerusi percakapan penduduk iaitu ‘tak kan berjaya orang itu, tak kan menjadi sebuah kampung’.

Katanya, orang tua dahulu mempunyai semangat yang kuat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membangunkan Kampung Takang supaya menjadi sebuah penempatan yang diambil daripada istilah ‘tak kan’.

“Sebagai mercu tanda kampung itu, penduduk kampung bertungkus- lumus membina dan menaikkan enam batang tiang yang membawa lambang Rukun Iman dan lima lagi tiang bermaksud Rukun Islam.

“Penduduk kampung ini 70 peratus mengusahakan pertanian iaitu menanam padi untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Pertumbuhan bandar yang semakin pesat dan jumlah penduduk yang semakin meningkat menyebabkan kawasan pertanian semakin berkurangan akibat proses perbandaran seperti kawasan perumahan, industri dan jalan raya.

“Memandangkan kawasan kampung ini dikelilingi sawah yang terbentang luas, setiap kali musim menuai padi, penduduk mampu memperoleh lebih 75,000 tan metrik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, selain menitikberatkan ekonomi penduduk, Jawatankuasa Muafakat Kampung Takang tidak ketinggalan dalam membangunkan bidang pendidikan apabila turut mengadakan kerjasama dengan pensyarah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan mengadakan kelas Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab yang terbuka kepada pelajar sekolah dan penduduk kampung.

“Walaupun kami berada di pinggir bandar, pendidikan anak di kampung tetap menjadi keutamaan bagi melahirkan masyarakat mempunyai intelektual yang tinggi.

“Alhamdulillah, sejak kelas ini diadakan, ia semakin mendapat sambutan daripada penduduk termasuk golongan muda dan warga emas yang ingin mempelajari kedua-dua bahasa itu,” katanya.

Menurut Mohd Noor, bagi membangunkan lagi Kampung Takang, baru-baru ini buat pertama kali kampung itu menyertai Pertandingan Anugerah Desa Perdana 2017 yang mewakili Kelantan ke peringkat kebangsaan.

“Pertandingan ini dianjurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan juara pertandingan menerima wang tunai berjumlah RM100,000 selain peruntukan bagi projek pembangunan kampung berjumlah RM600,000.

“Bagaimanapun, bukan gelaran juara yang dikejar, sebaliknya kami ingin fokus kepada usaha membangunkan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.

Katanya, keputusan pertandingan yang diumumkan pada 22 Ogos lalu di Kuala Lumpur, hanya meletakkan mereka di kedudukan keempat dalam kategori Kampung Tradisional daripada 23 kampung dari seluruh negara yang menyertai pertandingan itu.

“Tempat pertama dimenangi Terengganu, manakala kedua Johor dan diikuti Pahang.

“Kemenangan tempat keempat membolehkan kami membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, trofi dan sijil penyertaan yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Walaupun kami hanya berada di kedudukan keempat, layak ke peringkat kebangsaan adalah penghargaan besar buat kami seluruh warga kampung memandangkan ini adalah penyertaan pertama,” katanya.

Beliau berkata, wang kemenangan ini akan digunakan sepenuhnya untuk pembangunan Kampung Takang.

“Dalam perancangan, saya bercadang mewujudkan inap desa untuk pelancong yang datang ke negeri ini sama ada dari dalam atau luar negara.

“Saya berharap apa yang dirancangkan akan berjalan dengan baik terutama dalam pembangunan Kampung Takang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 12:01 AM