Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Polis menahan lima sekeluarga dipercayai memiliki 952 biji pil kuda bernilai RM10,472 bersama sepucuk pistol dan 11 butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Takang, di Tawang, Bachok pada 30 Mei lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata, tangkapan itu membabitkan suami isteri, ibu mentua dan kanak-kanak lelaki serta perempuan yang juga anak saudara pasangan itu

Katanya, kesemua yang ditahan berusia 11 hingga 54 tahun dan siasatan juga mendapati isteri suspek lelaki serta ibu mentuanya adalah warga Thailand.

"Turut dirampas sebuah kereta Proton Wira dan barang kemas bernilai RM4,300.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki berusia 24 tahun positif dadah manakala yang lain didapati negatif," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Katanya, suami isteri serta ibu mentua direman tujuh hari bermula 31 Mei sehingga semalam dan disambung reman bermula hari ini hingga 13 Jun bagi siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Perlucuthakan harta) 1988, Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api (PLB) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1971.

Menurutnya, pemilikan pistol berkenaan dipercayai ada kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis Kelantan menahan 555 suspek membabitkan 460 kes penyalahgunaan dadah melalui Ops Tapis yang dijalankan bermula 29 Mei sehingga semalam.

"Melalui operasi ini, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM395,600 yang dianggarkan boleh digunakan oleh 39,968 penagih.

"Suspek yang ditahan berusia 15 sehingga 59 tahun, yang mana seramai 515 adalah warga tempatan, 35 lagi warga asing dan empat pelajar selain seorang penjawat awam," katanya.

RAMPASAN 952 biji pil kuda bersama sepucuk pistol dan 11 butir peluru susulan penahanan lima sekeluarga di Kampung Takang, di Tawang, Bachok pada 30 Mei lalu.  FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
RAMPASAN 952 biji pil kuda bersama sepucuk pistol dan 11 butir peluru susulan penahanan lima sekeluarga di Kampung Takang, di Tawang, Bachok pada 30 Mei lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 5:12 PM