PASUKAN Pos A mengekalkan kejuaraan keempat.
PASUKAN Pos A mengekalkan kejuaraan keempat.
Oleh Asrizal Aris

Ipoh: Pasukan Pos A FC melakar gelaran buat kali keempat berturut-turut selepas muncul juara pada pertandingan bola sepak 8 Sebelah Piala BAH WAH Kampung Orang Asli negeri Perak di Padang Bandaran Gopeng, baru-baru ini.

Pada perlawanan akhir, Pos A FC mengatasi Sungai Hodak FC menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 selepas perlawanan terikat 1-1.

Pengurus pasukan Pos A Kong Chee Wai, 45, berkata, pasukannya berasal dari Kampung Kuala Woh, Tapah, berpuas hati selepas berjaya mengekalkan kejuaraan buat kali keempat meskipun kebanyakan pasukan yang menyertai pertandingan itu semakin hebat setiap tahun.

“Setiap tahun pasti ada pasukan baru yang menampilkan pemain muda hebat termasuk pasukan yang bertemu dengan kami pada separuh akhir dan akhir. Mujur kami menang kedua-dua perlawanan itu menerusi penentuan sepakan penalti.

“Kemenangan ini membanggakan kami kerana sekali lagi berjaya mengharumkan nama kampung dan berharap tahun depan pemain kami akan terpilih menyertai Liga Ipoh seperti yang dicadangkan penganjur dan Persatuan Orang Asli Perak,” katanya.

Pengurus Sungai Hodak FC, Ree
zal Bah Baroh, 39, pula berkata, pasukannya sekali lagi dikecewakan Pos A selepas pertemuan kali ketiga di final tidak memihak kepada mereka meskipun sudah berada di kedudukan selesa di awal perlawanan.

“Kami mendahului satu gol pada awal perlawanan dan kami yakin berjaya melakar sejarah menjadi juara baru pertandingan kali ini namun beberapa kesilapan di bahagian pertahanan menyebabkan pasukan lawan menyamakan kedudukan pada minit akhir.

“Bagaimanapun saya puas hati dengan pemain dan menganggap mereka masih hebat kerana bermain tanpa ada pemain simpanan selepas dua pemain mengalami kecederaan ketika di peringkat kalah mati,” katanya.

Pemilik Chalet BAH WAH Gopeng, Bah Jusin Bah Tangoi, 45, berkata sambutan pertandingan kali ini lebih menggalakkan selepas menerima penyertaan 34 pasukan termasuk pasukan dari wakil kampung Orang Asli di Pahang dan Kelantan.

“Pertandingan ini untuk mencungkil bakat baru sebelum membentuk pasukan bola sepak Orang Asli yang jarang diketengahkan dalam bola sepak Malaysia.

“Selain itu, dengan persetujuan Persatuan Orang Asli Perak, saya bercadang untuk menghantar mereka yang berbakat menyertai liga bola sepak Ipoh tahun depan.”

Pos A membawa pulang piala dan wang tunai berjumlah RM1,500 manakala Sungai Hodak menerima wang tunai RM800. Pasukan Estet FC dan Bidor FC masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 sebagai pemenang tempat ketiga dan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:05 AM