Keadaan kawasan kampung yang cantik mata memandang di Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Linggi, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Keadaan kawasan kampung yang cantik mata memandang di Kampung Orang Asli Bukit Kepong, Linggi, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Oleh Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Berkunjung ke perkampungan Orang Asli kaum Temuan di Kampung Orang Asli Bukit Kepong di sini, seolah-olah seperti melawat sebuah taman atau perkampungan budaya yang amat menarik.

Untuk ke perkampungan ini, orang ramai perlu melalui perjalanan sejauh lapan kilometer dari jalan utama namun laluan berbukitnya bertar cantik.

Kampung Orang Asli Bukit Kepong bukan perkampungan biasa kerana masyarakat di sini sudah biasa dikunjungi tetamu dari dari dalam dan luar negara kerana keunikannya yang tersendiri.

Persekitaran kampung turut dihias cantik termasuk pintu gerbangnya.

Kampung Orang Asli Bukit Kepong pernah dinobatkan kampung Orang Asli tercantik di Malaysia pada 2014 dan sejak itu, ia kekal malah bertambah baik dengan adanya inap desa untuk pengunjung yang mahu merasai nikmat bermalam di perkampungan Orang Asli.

Pengusaha inap desa, Farizan Razali, 42, berkata, pada mulanya, dia hanya membina dua inap desa tetapi atas permintaan, dia membina tiga lagi dan ia sudah siap serta boleh diduduki.

"Inap desa ini mendapat sambutan baik daripada pengunjung. Sepanjang penularan Covid-19, tiada yang menempah untuk menginap namun saya tetap menjaga kawasan persekitarannya supaya sentiasa bersih dan kemas.

"Inap desa ini turut menyediakan kemudahan tandas, bilik air, ruangan masak, dewan makan, pentas, ruangan menyumpit dan basikal untuk anak-anak beriadah melihat persekitaran kampung," katanya.

Kunjungan ke rumah tok batin juga membuatkan pengunjung terkesima melihat susun atur perabot yang dihasilkan sendiri daripada kayu hutan.

Cantik, halus dan tiada lagi sepertinya dan tiada harga yang mampu ditawarkan kerana ia buatan sendiri.

Tok Batin Kampung Orang Asli Bukit Kepong Omar Gomeng, 63, berkata, ada 42 rumah di kampung berkenaan dan ia dihuni 170 penduduk.

"Penduduk di kampung ini melakukan pelbagai pekerjaan seperti menoreh getah, mengusahakan kebun kelapa sawit dan ada yang bekerja di sektor pelancongan.

"Pengunjung pasti tidak tergamak mahu membuang sampah sesuka hati, walaupun puntung rokok, kerana keadaan kawasan ini yang bersih walaupun ada anjing berkeliaran seperti mana-mana perkampungan Orang Asli.

"Budaya 'bersih' ini sudah sebati dengan penduduk dan setiap dua bulan, pasti kami akan bergotong-royong membersihkan seluruh kampung yang berkeluasan kira-kira lapan hektar ini," katanya ditemui.

Menurut beliau, hasil sambutan baik pengunjung, penduduk turut membangunkan lima inap desa yang diselenggara anak saudaranya, Farizan Razali yang juga menyelaras pelbagai aktiviti riadah untuk pengunjung di inap desa.

"Keadaan kampung bertambah baik cuma masalah utama penduduk ialah rangkaian telefon bimbit namun perkara itu dijangka selesai tahun depan kerana sebuah pencawang telekomunikasi sedang dibina di kawasan ini dan itu harapan kami semua.

"Bagaimanapun, dalam tempoh pandemik Covid-19, kami tidak benarkan orang luar masuk namun kami yakin keadaan akan bertambah baik menjelang tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 2:23 PM