TENGKU Adnan (empat dari kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Ekovest Berhad Tan Sri Lim Kang Hoo (tiga dari kanan) melawat tapak Bandar Sungai KL.ASWADI ALIAS
TENGKU Adnan (empat dari kanan) bersama Pengerusi Eksekutif Ekovest Berhad Tan Sri Lim Kang Hoo (tiga dari kanan) melawat tapak Bandar Sungai KL.ASWADI ALIAS
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Bahagian utara Kuala Lumpur bakal berubah menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia apabila projek Bandar Sungai KL (KL River City) siap pada awal 2020.

Projek bernilai RM950 juta itu sebagai usaha memulihara dan transformasi Sungai Gombak sejauh 2.2 kilometer, menjadi sebuah pinggir sungai yang cantik bagi menyediakan gaya hidup sungai, landskap menarik dan tenang untuk dinikmati orang ramai khususnya penduduk ibu kota.

Bandar Sungai KL terletak dalam lingkungan Presint 1 dan 2 projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) iaitu lokasi strategik berhampiran hab utama pusat bandar raya seperti Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral), Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Segi Tiga Emas serta Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia yang sedang dibangunkan.

Pengarah Ekovest KL Bund Sendirian Berhad Ahmad Nasir Mohd Said berkata, selain itu projek terbabit turut akan menjadi sebuah pusat integrasi lancar dengan sistem jalan dan pengangkutan awam urban seperti lebuh raya DUKE, Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan rangkaian pengangkutan baru iaitu Teksi Air di sepanjang Sungai Gombak.

Beliau berkata, ia juga mempunyai landskap dan pembangunan moden bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai Bandar Sungai bertaraf dunia.

“Menariknya salah satu daripada ciri utama Bandar Sungai KL ialah dilengkapi sistem terowong dan pemulihan Sungai Gombak (GREAT) yang akan menggunakan sistem bukan mekanikal bagi mengurangkan risiko banjir kilat semasa hujan lebat di kawasan berkenaan dan sekitar pusat bandar raya.

“Jika hujan, secara automatiknya sistem ini akan bertindak menyalurkan air banjir ke terowong di bawah bandar iaitu melalui koridor sungai itu sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Bandar Sungai KL di ibu kota, baru-baru ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Katanya, dengan sistem GREAT itu menjadikan pembangunan Bandar Sungai KL sebagai sebuah pembangunan berinovasi dan unik yang tidak terdapat di mana-mana bandar raya di dunia.

“Kita guna sepenuhnya elemen semula jadi di bumi iaitu graviti untuk melaksanakan sistem GREAT.

“Walaupun kelebaran Sungai Gombak hanya 10 hingga 15 meter tetapi mempunyai ruang mencukupi untuk penyediaan aktiviti rekreasi seperti landskap, joging dan laluan berbasikal serta kemudahan lain.

“Elemen yang diketengahkan ini diyakini akan menambah baik persekitaran dan pembangunan di sekeliling Bandar Sungai KL, sekali gus meningkat imej Kuala Lumpur sebagai antara 20 bandar paling sesuai didiami di dunia,” katanya.

Menurutnya, Projek Sungai Bandar KL memfokuskan kerja pembangunan di jajaran Sungai Gombak iaitu di kawasan Sentul, Titiwangsa dan Pekeliling, bakal mengubah landskap kawasan Kuala Lumpur utara ke arah kawasan ikonik yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi, sosial dan fizikal kepada penduduk kawasan sekitarnya.

“Kawasan sekitar Bandar Sungai KL berkeluasan 133 hektar akan menerima kesan positif daripada projek berkenaan dengan pertambahan peluang pekerjaan yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negara,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 11:32 AM