Adnan (empat dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Adnan (empat dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga

Ampang: Tiga penjenayah ditembak mati, tiga lagi lolos dalam kejadian di Blok C Kondominium Highland Towers kira-kira 5 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Adnan Abdullah berkata, berdasarkan maklumat sepasukan polis dikerah ke lokasi kejadian sebelum terserempak dengan enam individu lelaki berusia 30-an yang dipercayai sedang merancang melakukan aktiviti jenayah.

Katanya, enam suspek berkenaan kemudiannya melarikan diri sebelum dikejar oleh anggota polis.

"Suspek kemudiannya menyerang polis dengan bersenjatakan parang panjang dan berlaku pergelutan sebelum polis melepaskan tembakan terhadap tiga suspek.

"Tiga lagi suspek dapat melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dan usaha mengesan semua penjenayah ini masih giat dijalankan termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan K9,"katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi tadi.

Menurutnya, pelbagai peralatan pecah rumah dan senjata seperti parang dan pistol angin turut dirampas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 11:09 AM