PENUNTUT yang terbabit dalam program One’s Aid Society 3.0: PaHATE menggayakan isyarat rasmi khas program ini. FOTO ihsan Nur Izzah Atirah Zainuddin
PENUNTUT yang terbabit dalam program One’s Aid Society 3.0: PaHATE menggayakan isyarat rasmi khas program ini. FOTO ihsan Nur Izzah Atirah Zainuddin
Nur Izzah Atirah Zainuddin

PISAU memang tajam, tetapi apalah ia jika dibandingkan dengan ketajaman lidah. Kata-kata yang keluar daripada mulut kita sememangnya mudah dituturkan tetapi apakah efeknya terhadap orang lain, jika kita bercakap tanpa berfikir atau tanpa mempertimbangkan dahulu setiap bait-bait yang ingin diucapkan itu.

Ucapan kebencian adalah satu bentuk komunikasi atau ayat yang diekspresikan dengan niat menyebarkan kebencian, penindasan dan diskriminasi terhadap seseorang individu atau kelompok bertujuan untuk merendahkan, menyinggung atau membenci mereka.

Di manakah rasionalisme dan autoriti kita sehinggakan ada yang menjadikan hinaan dan cacian terhadap orang lain ini sebagai sesuatu yang dinormalisasi.

Gelombang kebencian ini secara bersahajanya menjadi satu tantangan besar bagi masyarakat. Jika suatu ketika dahulu, lemparan ucapan benci ini hanya terjadi di dalam masyarakat setempat atau ahli keluarga dan kenalan, kini dengan wujudnya kemudahan maya, ianya juga menjadi kemasylihatan dimana rata-rata individu telah dan selalu menyalahgunakan hak kebebasan bersuara mereka di media sosial seperti Instagram, Tiktok, X dan pelbagai lagi platform media sosial untuk melemparkan kata nista kepada sesiapa sahaja yang mereka inginkan.

Tidak sedarkah kita tentang isu ucapan kebencian yang telah merendahkan dan membunuh jiwa seseorang ini, ayat-ayat nista yang dilontarkan ini telah membawa banyak kemudaratan kepada setiap individu yang menghadapinya.

Konteks yang ingin dihujahkan di sini adalah, ucapan kebencian terhadap seseorang yang mempunyai masa lalu yang kelam seperti bekas banduan atau bekas penagih dadah.

Kata-kata nista seringkali dilemparkan terhadap seorang insan yang bergelar bekas penagih dadah tidak kiralah di dunia nyata atau alam siber dek kerana daripada kisah silam mereka yang kelam. Seringkali prejudis dilemparkan terhadap bekas penagih dadah walaupun hampir semua daripada mereka telah bertaubat atau dalam bahasa pasarnya "cuci tangan" daripada najis dadah.

Bukankah mereka layak mendapat peluang lain dan sepatutnya tidak dikeji dan direndahkan sebegitu sedangkan mereka sudah berusaha kembali ke pangkal jalan.

Kebanyakan daripada mereka mempunyai hasrat ingin memulakan hidup baharu dengan mencari pekerjaan tetapi tidak banyak organisasi dan syarikat yang menerima seseorang yang merupakan bekas penagih dadah untuk menjadi pekerja.

Isu kepercayaan mulai bangkit dalam diri setiap majikan apabila melibatkan individu yang pernah terlibat dengan dadah mencuba nasib untuk mendapatkan peluang pekerjaan.

"Sekali terlibat dengan dadah pasti mereka akan kembali ke kancah itu semula." Inilah antara pernyataan yang sering orang-orang kita hamburkan. Tidak dinafikan ada yang membela dan ada juga yang turut membantah pernyataan itu tetapi bukankah peluang dan kepercayaan patut diberi sekurangnya sekali?

Ada juga yang sering memandang bekas penagih dadah ini seolah-olah mereka hanya layak ditempatkan di neraka tanpa menyedari hakikat yang diri kita semua juga adalah pendosa dengan dosa yang berlainan.

Sedar atau tidak, oleh kerana faktor ini jugalah mengapa kebanyakan daripada bekas penagih dadah ini terlibat semula ke kancah najis itu.

Menyimpulkan kebenaran itu, kami sekumpulan pelajar komunikasi daripada program MC242, Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam bergerak dan berinisiatif untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat serta kepada bekas penagih dadah sendiri dalam bagaimana masyarakat boleh menghindarkan diri daripada menaburkan ucapan kebencian dan bagaimana pula cara bekas-bekas penagih dadah itu sendiri dalam menanganinya.

Kami yakin bahawa masih tidak terlambat lagi untuk memberi kesedaran dan pengajaran melalui program PaHATE, disebut sebagai "pahit" yang akan diadakan di Madrasah Khairul Insan (HATI) bertempat di daerah Hulu Terengganu. Mereka terdiri daripada bekas penagih dadah yang digelar sebagai pelatih di pusat tersebut, seramai 60 orang pelatih berjantina lelaki berusia 17 tahun sehingga 65 tahun akan terlibat nanti.

Lanjutan daripada itu, maklumat berkenaan ucapan kebencian, serta program "One's Aid Society 3.0: PaHATE" boleh disorot melalui laman media sosial (Instagram atau Tiktok) @onesaidsociety.

Penulis Nur Izzah Atirah Zainuddin, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 7:30 PM