Siti Nurhafizah bersama enam anaknya ketika menerima kunjungan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria di rumahnya di Flat Pinggiran Kota, Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Siti Nurhafizah bersama enam anaknya ketika menerima kunjungan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria di rumahnya di Flat Pinggiran Kota, Lukut, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Kesusahan hidup menyebabkan empat daripada enam anak ibu tunggal, Siti Nurhafizah Hailani, 31, tidak dapat meneruskan persekolahan mereka sejak 2022.

Menurutnya, empat anaknya itu yang berusia tujuh, sembilan, 12 dan 15 tahun itu terpaksa diberhentikan sekolah sejak mereka berpindah ke kediaman sekarang di Flat Pinggiran Kota, di sini.

Namun jauh di sudut hatinya berharap supaya anak-anak itu dapat kembali ke sekolah secepat mungkin.

"Saya sudah tidak sebumbung dengan bekas suami sejak anak yang kini berusia empat bulan masih dalam kandungan (tujuh bulan). Kami bercerai secara rasmi 13 Mei lalu.

"Sebaik bersalin saya terus mencari pekerjaan kerana hutang makin bertambah malah terpaksa menggadaikan motosikal kepada jiran. Saya perlu menjelaskan sewa rumah sebanyak RM450 sebulan jika tidak akan dihalau.

"Alhamdulilah kini saya dapat bekerja di sebuah stesen minyak di Lukut sejak sebulan lalu demi anak-anak.

"Anak sulung perempuan saya yang banyak membantu menjaga adik-adiknya ketika saya keluar bekerja dan saya tidak banyak pilihan terpaksa berserah kepada Allah menjaga mereka," ujarnya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana mendapat bantuan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) orang perseorangan, Baitulmal dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya percaya apa yang berlaku ini adalah ujian Allah kepada hamba-Nya dan tidak mahu meratapi nasib kerana perut anak-anak perlu diisi dan perlu terus berusaha semampu yang saya boleh.

"Terima kasih kepada kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria, NGO, Baitulmal, JKM dan saya percaya ada sinar dalam kehidupan untuk kami tujuh beranak," ujarnya.

Kepada mereka yang mahu membantu bagi meringankan beban keluarga ini, boleh berbuat demikian di akaun CIMB Bank 7634363381 atas nama Siti Nurhafizah Hairani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 8:49 PM