Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membincangkan mekanisme terbaik pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, untuk pemberian baucer yang bermula di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), esok, pihaknya akan bekerjasama dengan pengurusan PBKAL.

Menurutnya, pengumuman berita baik itu bakal memberi manfaat kepada penuntut IPT sekali gus menunjukkan keprihatinan Anwar kepada golongan berkenaan untuk membudayakan minat membaca dalam kalangan generasi muda

"Kita akan kerjasama dengan pihak pengurusan sini (PBAKL) Tuan Haji Khair (Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron untuk penggunaan baucer bermula esok)," katanya selepas majlis perasmian PABKL di WTC, hari ini.

Mengulas mengenai pemberian baucer yang bukan saja untuk kegunaan di PABKL tetapi untuk premis buku di luar, Zambry berkata, perkara itu seperti yang diumumkan oleh Anwar dalam ucapannya.

"Ya, apa yang PM (Perdana Menteri) umumkan tadi ialah daripada darjah empat ke atas sampai ke universiti maknanya setiap (golongan berkenaan) akan diberikan baucar. Itu yang saya faham daripada (perkara diumumkan).

"Kita kena cari mekanisme terbaik. Untuk esok (walaupun masa sudah suntuk) tetapi tak mengapa kita perlu buat sebab itu berita baik untuk rakyat khususnya generasi muda.

"Saya akan cari jalan (mekanisme untuk perangkaan manfaat itu di IPT selepas ini) tetapi saya rasa kalau selepas tamat (PBAKL) ia lebih mudah sebab ia akan diuruskan di peringkat universiti (IPT) masing-masing," katanya.

Menurut Zambry, pengumuman itu menunjukkan keprihatinan Anwar kepada generasi ilmu, generasi muda dan membantu rakyat khususnya golongan pelajar biarpun kerajaan sedang menguruskan masalah kewangan negara.

"Sekurang-kurangnya baucar diberikan itu dapat meringankan beban pelajar (murid sekolah dan penuntut IPT)," katanya.

Pemberian baucer buku bernilai RM100 itu diumumkan pada majlis perasmian PBAKL, sebentar tadi dan pelaksanaannya boleh digunakan di pesta buku berkenaan bermula 2 petang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 7:28 PM