GARRIDO diberi kepercayaan untuk memacu kejayaan skuad B-19 negara.
GARRIDO diberi kepercayaan untuk memacu kejayaan skuad B-19 negara.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Juara bertahan, Malaysia dijangka tidak berdepan masalah meloloskan diri ke pusingan kalah mati Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Asean 2024 di Indonesia Julai ini.

Ia selepas sesi undian hari ini menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido diundi dalam Kumpulan C bersama juara lima kali Thailand, Singapura dan Brunei.

Pada edisi lepas, Thailand menamatkan kempen saingan di tempat keempat sementara Singapura dan Brunei masing-masing terkandas di peringkat kumpulan.

Dalam pada itu, naib juara edisi lepas Laos diundi dalam kumpulan maut apabila berdepan cabaran juara 2007 Vietnam, juara dua kali Myanmar dan juara lima kali Australia.

Skuad tuan rumah yang muncul juara edisi 2013 pula diundi bersama Timor-Leste, Kemboja dan Filipina.

Sebagai rekod, skuad B-19 negara yang dibimbing Bojan Hodak pada ketika itu, merangkul gelaran sulung kejohanan serantau tersebut pada edisi 2018 sebelum Hassan Sazali Waras mengemudi pasukan meraih kejuaraan kedua empat tahun kemudian.

Kejohanan B-19 Asean atau sebelum ini dikenali sebagai Kejohanan B-19 Persekutuan Bolasepak Asean (AFF), dijadual berlangsung di Surabaya dari 17 hingga 29 Julai ini.

Sementara itu, FAM hari ini memaklumkan Garrido menyenaraikan 36 pemain ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya B-19 bermula Ahad ini sebagai persiapan menjelang Kejohanan B-19 Asean.

"Skuad Harimau Malaya B-19 akan memulakan kem latihan pusat dari 2 hingga 8 Jun di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, Kuantan dan akan meneruskan sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil dari 9 hingga 11 Jun," menurut kenyataan itu.

Dalam undian berasingan, skuad Harimau Malaya Bawah 16 Tahun (B-16) kendalian Javier Jorda Ribera telah diundi dalam Kumpulan C bersama Thailand, Timor-Leste dan Australia bagi Kejohanan B-16 Asean 2024 di Surakarta, Indonesia dari 21 Jun hingga 4 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 7:53 PM