FOTO Ihsan Abdul Aziz Mokhtar
FOTO Ihsan Abdul Aziz Mokhtar
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@Hawana," kata bekas Eksekutif Pereka Grafik Berita Harian, Abdul Aziz Mokhtar, 49, ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Abdul Aziz yang menghidap pelbagai penyakit kronik antara pengamal media yang menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana).

Sumbangan Tabung Kasih@Hawana itu disampaikan Pegawai Berita yang menanggung tugas Ketua Biro Bernama Terengganu, Balqis Jamaludin.

Bapa kepada lima anak berusia antara enam hingga 18 tahun itu dirawat di HSNZ sejak tiga hari lalu selepas mengalami sesak nafas.

Abdul Aziz menzahirkan rasa syukur apabila menerima sumbangan berkenaan melalui Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan untuk membantu bekas pekerja media yang diuji dengan masalah kesihatan dan keuzuran.

"Usaha Hawana melalui Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) ini sangat terpuji kerana tidak melupakan kebajikan para pekerja penerbitan bercetak seperti saya.

"Terima kasih kerana tidak melupakan saya dan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga," katanya yang berkhidmat bersama Berita Harian sejak 1997 hingga 2014.

Menurut Abdul Aziz, penyakit kencing manis yang dihidapnya menyebabkan kesemua jari di kaki kiri dan satu jari kaki kanannya terpaksa dipotong.

Katanya, kesihatannya turut merosot selepas mengalami masalah jantung tersumbat sejak dua tahun lalu selain turut menghidap penyakit darah tinggi.

"Saya bekerja sendiri sebagai pereka grafik untuk pelbagai barangan seperti baju-T, topi dan sebagainya selepas berhenti daripada berkhidmat dengan Berita Harian melalui MSS (Skim Pemisahan Wajib) pada 2014.

"Walaupun pendapatan tidak seberapa tetapi ia dapat menampung sedikit sebanyak keperluan perubatan saya sekali gus meringankan beban isteri, N Zulaikha Ahmad, 47, namun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan terutama ketika pandemik Covid-19 menyebabkan saya tidak dapat bekerja.

"Sekarang ini, kami sekeluarga memang bergantung kepada isteri yang bekerja sebagai pembantu tadbir, jadi bantuan diterima ini memang sangat membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 8:01 PM