Semua tertuduh dibawa ke lokap mahkamah selepas prosiding selesai. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Semua tertuduh dibawa ke lokap mahkamah selepas prosiding selesai. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Tiga individu didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Ayer Keroh, hari ini, atas tiga pertuduhan samun berkumpulan menggunakan pistol tiruan membabitkan kerugian berjumlah RM1,150, awal bulan ini.

Mohd Firdaus Md Nor, 33, yang juga bekas polis, Abd Hayat Firdaus Abd Malek, 38, (penganggur) dan Mohd Khairi Mohd Noor,36, (pelukis pelan) masing-masing mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan minta dibicarakan dalam prosiding didengar Hakim Elesabet Paya Wan.

Mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan pistol tiruan dan melarikan wang tunai RM400 milik mangsa di Taman Seri Telok Mas pada 7 Mei lalu, kira-kira jam 12 tengah hari.

Mohd Firdaus dan Mohd Khairi juga didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan pistol tiruan dan melarikan wang tunai RM200 milik mangsa di Taman Perindustrian Krubong, dekat sini, pada 6 Mei lalu, kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Bagi kes ketiga pula, Abd Hayat Firdaus dan Mohd Khairi didakwa merompak berkumpulan menggunakan pistol tiruan dan melarikan wang tunai RM550 milik mangsa di kedai serbaneka, Taman Tambak Paya Harmoni, dekat sini, pada 6 Mei lalu, kira-kira jam 7.21 malam.

Semua kesalahan dituduh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika disabitkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan membantah jaminan, namun mencadangkan RM30,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguam Faathir Imran Firdaus mewakili Mohd Khairi merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh menanggung ibu bapa yang menghidap penyaki kanser ovari dan jantung.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Firdaus dan Abd Hayat Firdaus dilepaskan dengan jaminan RM30,000 manakala Mohd Khairi pula RM45,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri setiap bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin sehingga kes selesai.

Di Mahkamah Majistret, Mohamad Firdaus mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas pertuduhan memiliki pistol tiruan di Taman Perindustrian Krubong Melaka, dekat sini, pada 6 Mei lalu, kira-kira jam 12.50 tengah hari.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi setahun atau denda maksimum RM5,000 atau keduanya sekali mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 selepas menimbangkan rayuan tertuduh yang menghidap sakit tulang belakang dan berstatus orang kurang upaya (OKU).

Semua kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan melantik peguam pada 9 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2024 @ 8:14 PM