LEWANDOWSKI (tengah) sumbat dua gol.
LEWANDOWSKI (tengah) sumbat dua gol.

Zagreb: Pep Guardiola meraikan kemenangan ke-100 sebagai jurulatih Bayern Munich apabila Robert Lewandowski menyumbat kedua-dua gol ketika menang 2-0 ke atas Dinamo Zagreb pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Bayern sudah memastikan tempat ke pusingan berikutnya sebagai juara Kumpulan F sebelum aksi di Stadium Maksimir yang menyaksikan Guardiola meraih catatan itu selepas hanya 132 perlawanan bersama kelab gergasi Bavaria itu.

“Di sebalik semua itu, ia satu perlawanan sukar dan tidak mudah untuk memperagakan aksi,” kata Lewandowski ketika cuaca sejuk melanda Zagreb hanya lebih sedikit daripada tahap beku.

“Kami sedar perlu bersabar dan pada babak kedua kami mempunyai lebih banyak ruang untuk menguasai.”

Guardiola merehatkan penjaga gol Manuel Neuer dan membawa masuk bekas penjaga gol Stuttgart Sven Ulreich yang hanya beraksi perlawanan kompetitif kedua bersama juara Jerman itu.

Ulreich ternyata bertindak cemerlang apabila menyelamatkan percubaan pemain tengah Dinamo Josip Pivaric pada minit keenam dan penyerang Algeria El Arbi Hilal Soudani pada minit ke-25.

Pada babak kedua, Guardiola mengeluarkan Medhi Benatia dan Franck Ribery dan membawa masuk Thomas Mueller dan Jerome Boateng.

Dua pemain itu pantas melakukan impak dan perlawanan itu diputuskan dalam tempoh tiga minit apabila Lewandowski meledak pada minit ke-61 dan 64. Malah Mueller mensia-siakan sepakan pernalti pada minit ke-87. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 8:18 AM