SS memang suka kalau seseorang artis itu mempunyai perwatakan serta suka memberi pandangan pertama yang mesra. Apa lagi kalau SS atau orang lain tidak berapa kenal dengan artis berkenaan.

Bukan apa, 'first impression' sebegitulah yang membuatkan kita sekurang-kurangnya ber-lembut hati mahu menegur seseorang meskipun kita sendiri tidak pernah bercakap dengannya.

Namun jelas bukan semua memiliki kepekaan seperti itu kerana sudah banyak juga SS dengar teman media mengutarakan mengenai hal kurang mesra beberapa artis.

Seperti seorang artis yang SS pun sebenarnya tidak rasa sangat kewujudannya dalam bidang seni. Pernah jugalah melihat beberapa kali kemunculannya di TV, namun bukanlah memberi kesan pun.

Kata teman SS, dia sedikit kecewa dengan artis yang juga pelakon itu apabila melihat gelagatnya yang tidak tahu menyapa orang industri padahal artis lagi jauh popular berbandingnya pula ligat berbuat demikian.

Dia lebih suka duduk berkelompok dengan rakannya tanpa ada inisiatif pun sekurang-kurangnya bertanya khabar terutama pada pihak media. Takkanlah orang lain pula terhegeh-hegeh mahu pergi menegurnya?

Daripada gerak-gerinya itu saja sudah membuatkan teman SS sendiri kurang senang de­ngan pelakon berkenaan. Mana tidak-nya, dia sendiri nampak pihak media berdiri lama berdekatan, namun tidak tergerak hati langsung pergi beramah mesra.

SS: Suka berkenalan dengan orang baru tanpa mengenal status.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:00 AM