Penyanyi ini tidaklah popular mana pun. Kalau disebut namanya pasti ada tertanya-tanya yang mana satu o­rangnya.

Pun begitu, lagunya cukup popular tidak hanya di radio, malah turut menjadi lagu tema untuk beberapa drama.

Pada mulanya SS tertanya-tanya juga mengapa dia menjadi begitu, rupa-rupanya selepas dirisik ramai yang mengeluh dengan sikap sombongnya.

Pada mulanya SS kurang percaya sehinggalah rakan baik SS sendiri pernah mengalami keadaan yang sama.

Ketika itu, rakan SS berpeluang menemu bual artis berkenaan. Beberapa hari kemudian rakan SS ternampak artis itu di satu majlis, tetapi dia pelik kerana artis itu buat tidak tahu saja apabila mereka berselisih bahu.

Walaupun rakan SS melemparkan senyuman pada artis itu, tetapi dia boleh buat tak tahu saja.

Pelik juga takkanlah dia tidak kenal sedangkan mereka baru saja bersua muka. Hendak kata dia rabun mustahil juga kerana mereka hanya berdiri sebelah-sebelah saja.

Takkanlah sudah lupa padahal mereka baru bersembang panjang beberapa hari sebelum itu.

Sejak itu, rakan SS mula sedar apa yang orang katakan mengenai sikap sombongnya itu ada betulnya. Entahlah mungkin juga itu sudah sikap semula jadi artis berkenaan.

Terbaru, seorang artis baru mengadu kepada SS mengenai perkara yang sama membabitkan artis itu.

Ceritanya apabila mereka terbabit dalam sebuah projek lagu, artis baru berkenaan meminta bantuan artis sombong itu untuk sama-sama membuat promosi.

Sayangnya, artis baru itu teruk dimarah dan si artis sombong itu menyatakan itu bukan kerja dia dan pandai-pandailah pihak media hendak cari mereka.

Katanya, sebagai artis dia tidak perlu menagih atau terhegeh-hegeh dengan sesiapa pun. Perlu sentiasa menjaga status diri supaya tidak dipandang rendah orang lain.

Patutlah sampai sekarang orang tidak kenal siapa dia rupanya sikap sombong itu sudah lama jadi darah dagingnya.

SS: Sentiasa merendah diri walau di mana saja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:00 AM