SS tidak tahu apa masalah artis ini apabila dia datang ke satu majlis hiburan dengan berpakaian selekeh tanpa mempedulikan kata-kata orang.

Mungkin dia tidak sempat menyalin pakaian, tetapi SS rasa mustahil kerana majlis itu sudah lama dirancang. Takkan dia tak boleh ‘capai’ baju lain dalam almarinya yang mampu menampilkan gaya lebih kemas.

Sering kali kita dengar mengenai masalah ini, namun ia masih berlaku. Tidak faham SS dengan perangai segelintir artis yang suka mengambil mudah perkara seperti ini.

Begitu juga dengan sikap artis ini. Walaupun majlis yang diadakan tidak begitu gah, tetapi sebagai artis ke mana pergi mereka mesti jaga penampilan. Tidak perlu berpakaian mahal, cukup sekadar kemas dan selesa di pandang mata.

Jangan apabila sudah menjadi bahan cerita baru mahu berubah dan memberi alasan tidak sengaja atau tidak sempat menukar baju kerana tergesa-gesa dari lokasi penggambaran drama.

Sebagai artis profesional, alasan begitu tidak boleh diterima pakai. Kalau sudah tahu ada acara yang perlu dihadiri, letakkan saja baju dalam kereta. Agak mudah untuk mencipta nama yang gemilang dalam industri seni tanah air, tetapi untuk mempertahankannya bukan senang.

Walaupun SS difahamkan artis ini seorang yang sangat merendah diri meskipun sudah popular, namun jangan letakkan diri itu terlalu rendah. Hormati sanjungan dan penghargaan yang diberikan peminat. Jangan hanya apabila mahu ke majlis besar dan gemilang baru terhegeh-hegeh nak bergaya dan sanggup mencari baju tajaan.

SS: Sentiasa bergaya walaupun hanya pergi pasar malam demi kepuasan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:38 AM