Oleh Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Pemuzik jalanan atau ‘busker’, turut mencuri tumpuan perwakilan dan orang ramai di Perhimpunan Agung UMNO 2015 di PWTC.

Kumpulan ‘You and Me’ dianggotai empat ahli berusia 24 hingga 36 tahun terdiri daripada Huzaimir selaku vokalis, Jay (gitar), Lan (cajon) dan Nurul Asyikin (tamborin), antara yang menghiburkan pengunjung di gerai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Aras 1, PWTC.

Nurul Asyikin berkata, dia dan ahli kumpulannya sudah lebih dua tahun mengadakan persembahan seperti itu.

“Kami mahu menarik minat dan mendedahkan kepada orang ramai mengenai persembahan ‘busker’.

"Syukur, ramai yang singgah ke gerai ini bagi menyaksikan persembahan kami," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, petang tadi.

‘Busker’ daripada Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), di sini, turut mempamerkan bakat mereka di gerai Kementerian Pendidikan di Aras 1, PWTC.

Pengetua SBJK, Zulkernai Fauzi berkata, empat pelajarnya berusia 13 hingga 17 tahun itu dibawa ke PWTC bukan sekadar menyanyi dan mempamerkan bakat masing-masing, tetapi pada masa sama membantu mereka supaya lebih bersemangat dan yakin ketika berdepan orang ramai.

"Sebelum ditempatkan di SBJK, mereka tidak bersekolah. Selepas masuk ke sekolah ini yang sudah dua tahun ditubuhkan, mereka belajar seperti rakan sebaya mereka dan didedahkan dengan pelbagai kemahiran," katanya.

Katanya, sambutan diterima menggalakkan apabila ada perwakilan dan orang ramai yang bersama-sama menyanyikan lagu yang disampaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 9:02 PM
Kumpulan ‘You and Me’ membuat persembahan di PWTC. FOTO Safizan Yakin
Kumpulan ‘You and Me’ membuat persembahan di PWTC. FOTO Safizan Yakin