Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Perintah berkurung fasa ke-32 di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok dilanjut hingga 27 Disember ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan perairan di kawasan itu terpelihara selain menjamin kesejahteraan penduduk dan pelancong.

“Perintah berkurung sebelum ini akan berakhir esok pada jam 7 malam selepas 15 hari pelaksanaannya.

"Menerusi Seksyen 31(1) Akta Polis 1967 dan 31(4) akta sama, kerajaan mengambil keputusan meneruskan pelaksanaan perintah berkurung di tujuh daerah termasuk Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran berikutan terdapat keperluan mengenainya.

"Ini kerana masih berlaku ancaman jenayah rentas sempadan terutama cubaan penculikan yang cuba dilakukan penjenayah dari Selatan Filipina," katanya menerusi kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Jalaluddin berkata, lanjutan perintah itu juga dapat mengatasi penyeludupan dan jenayah rentas sempadan terutama di kawasan berhampiran sempadan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 7:34 PM