Black bersama isterinya dan anak. FOTO IG Black
Black bersama isterinya dan anak. FOTO IG Black
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI, Black Hanifah mengakui risau isterinya yang kini hamil lima bulan melalui ‘perkara sama’ selepas mengalami tiga keguguran sebelum ini.

Dia memberitahu sekiranya kandungan kali ini gagal, mereka reda dan tidak mahu berharap lagi.

"Alhamdulillah, ini rezeki kami. Saya menangis diberitahu isteri hamil lagi. Hanya orang berkahwin dapat merasai perasaan ini.

“Apatah lagi, dia tiga kali keguguran sebelum ini. Saya harap kandungan ini menjadi.

"Dalam kegembiraan, saya tetap risau dan takut. Malah, kalau bukan rezeki nak dapat anak lagi, cukup seorang pun tak apa.

“Saya kasihan melihat isteri setiap kali melalui proses Dilatation & Curettage (D&C) atau cuci rahim," katanya kepada Harian Metro.

Black popular menerusi lagi Teman Pengganti berkongsi berita isterinya disahkan hamil selepas membuang tiub falopio sebelah kiri.

"Selepas anak pertama berusia setahun, isteri sah hamil. Namun, belum rezeki apabila dia keguguran. Tidak lama selepas itu, isteri hamil lagi. Sekali lagi, isteri keguguran.

"Waktu itu, doktor memberitahu isteri hamil anak kembar. Namun, satu janin berada di luar rahim menyebabkan satu tiub falopio terpaksa dibuang.

"Kami tidak henti berdoa dan berharap. Biarpun tiga kali keguguran, kalau Allah nak beri rezeki, siapa kita untuk menolak. Ini semua ketentuan Allah," katanya.

Menurut Black, doktor hanya menasihati isterinya agar kerap melakukan pemeriksaan kehamilan.

"Walaupun hamil satu tiub, doktor cakap jangan risau. Apa membimbangkan sekiranya tiub terbabit tidak dibuang kerana ia boleh memberi kesan kepada rahim.

"Isteri perlu kerap menjalani pemeriksaan kesihatan kehamilan. Insya-Allah, isteri dijangka besalin pada November ini. Doakan segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan," katanya.

Black dan isteri mendirikan rumahtangga pada September 2013.

Mereka memiliki cahaya mata lelaki, Khaleef Dayyan yang kini berusia tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 2:47 PM