DUA wanita berjalan berhampiran patung dan gambar bekas Pope John Paul II.
DUA wanita berjalan berhampiran patung dan gambar bekas Pope John Paul II.
SEBUAH lagi masjid yang terdapat di Hamtramck.
SEBUAH lagi masjid yang terdapat di Hamtramck.
DUA wanita Islam yang memakai burka berjalan di sebatang jalan di Hamtramck.
DUA wanita Islam yang memakai burka berjalan di sebatang jalan di Hamtramck.
HUSAIN di kedai menjual pakaian miliknya.
HUSAIN di kedai menjual pakaian miliknya.
THAER (belakang) bersama isteri dan anaknya.
THAER (belakang) bersama isteri dan anaknya.
SEORANG wanita Islam berjalan bersama anaknya yang baru pulang dari sekolah.
SEORANG wanita Islam berjalan bersama anaknya yang baru pulang dari sekolah.
Susunan Syed Ahmad Zulkarnain Syed Ali


Majoriti penduduk Amerika Syarikat (AS) mungkin menentang kedatangan ribuan rakyat Syria yang melarikan diri daripada kekejaman rejim Bashar al-Assad dan kumpulan Negara Islam (IS).

Bagaimanapun, pelarian Syria diterima dengan tangan terbuka di Hamtramck, Michigan - bandar pertama dan satu-satunya yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.

Hamtramck dahulunya didiami lebih 90 peratus penduduk keturunan Poland beragama Kristian tetapi bandar yang terletak di luar Detroit itu berubah dengan kedatangan imigran dari Bangladesh, Yaman dan Bosnia.

Penduduk beragama Islam kini menjadi majoriti, ahli majlis perbandaran juga majoritinya Islam dan laungan azan bergema di setiap penjuru jalan, lima kali sehari.

Tambahan terbaru penduduk pelbagai etnik di Hamtramck adalah 33 pelarian Syria, semuanya keluarga beragama Islam yang melarikan diri daripada kekejaman perang saudara di negara mereka.

Kedatangan itu ketika perdebatan hebat mengenai risiko pelarian berkenaan mungkin militan IS yang menyamar untuk melancarkan serangan pengganas seperti di Paris, Perancis pada 13 November lalu.

Thaer Hoshan, 40, melarikan diri dari Syria bersama isterinya, Dalal, 37, yang sarat mengandung dan lima anak mereka berusia lima hingga 13 tahun.

Kata Thaer, kampung halamannya di Daraa, Syria selatan adalah bandar pertama dikepung tentera Bashar yang mengebom orang awam dan kediaman penduduk, serta membunuh lelaki dan merogol wanita.

“Kami sangat gemuruh ketika kali pertama datang ke AS. Saya tidak pernah mendengar nama negeri Michigan, apatah lagi Hamtramck,” katanya melalui penterjemah.

Thaer kini menyewa sebuah apartmen dengan harga AS$500 (RM2,100) sebulan yang terletak berhampiran sebuah daripada empat masjid di Hamtramck.

Apartmen itu juga terletak berhampiran kawasan perniagaan Joseph Campau Avenue yang pernah dikenali sebagai ‘Little Warsaw’.

Kini kawasan itu menempatkan beberapa restoran Benggali, pasar makanan dan kedai pakaian yang menjual pakaian Muslim seperti tudung dan jubah.

Bancian terbaru menunjukkan penduduk Hamtramck membabitkan 23 peratus Arab dan 19 peratus Bangladesh manakala Bosnia dan penduduk Islam lain sekitar sembilan peratus.

Penduduk Islam adalah majoriti di Hamtramck dengan jumlah keseluruhan 51 peratus.

Komuniti penduduk berketurunan Poland mengecil kepada hanya 11 peratus.

Ada banyak lagi komuniti kecil dan etnik lain di Hamtramck, dan ini boleh dilihat dengan 27 bahasa dipertuturkan di semua sekolah di bandar itu.

Sebahagian penduduk kulit putih dan komuniti bukan Islam di bandar itu masih curiga dengan apa yang dianggap mereka sebagai ‘pencerobohan orang Islam’.

Seorang penduduk, Barbara Zielinska, 60, berkata, ramai penduduk beragama Islam tidak bekerja dan hidup dengan wang bantuan kerajaan.

Bagaimanapun, tuduhan itu mengecewakan Husain Hizam, 45, pemilik kedai VIP Clothing yang menjual pelbagai barangan termasuk hasil seni Islam, pakaian dan hiasan rumah.

Bapanya, Mohamed datang ke AS dari Yaman pada 1970-an dan bekerja di sebuah kilang pemasangan kereta di Detroit selama 30 tahun.

“Bapa saya bekerja keras dan dia menunjukkan kepada saya cara rakyat AS.

“Ini adalah negara yang penuh dengan peluang, lebih rajin kamu bekerja, lebih banyak yang kamu peroleh,” katanya.

Katanya, pelanggannya membabitkan orang Islam dan bukan Islam, terutama wanita keturunan Poland yang tertarik dengan pakaian dihiasi pelbagai batu hiasan menarik.

“Saya tidak pernah memberi layanan berbeza kepada pelanggan kerana jika berbuat demikian saya sendiri yang akan rugi.

“Apa yang saya lihat di televisyen dan perkara yang berlaku di Paris sangat membimbangkan saya.

“Namun, kami semua hidup dengan aman damai di sini. Jiran saya ada yang berketurunan Poland dan Vietnam. Kami semua seperti satu keluarga besar,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2015 @ 5:03 AM