PEMAIN China berjalan ditepi penyokong mereka selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
PEMAIN China berjalan ditepi penyokong mereka selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Beijing: Penyokong China yang berang memuji pasukan pelawat, Syria selepas apa yang disebut media negara itu sebagai 'satu lagi kekalahan memalukan'.

Jurulatih China dari Serbia, Aleksandar Jankovic memberi alasan tidak berbasib baik sebagai punca kekalahan 0-1 di Chengdu hari ini, yang berlaku beberapa hari selepas mereka diikat 1-1 oleh Malaysia, juga di tempat sendiri.

Presiden, Xi Jinping mahu China menjadi tuan rumah dan juga memenangi Piala Dunia suatu hari nanti, tetapi mereka kini berada di ranking ke-80 dunia dan kedudukan itu pasti merosot lagi menjelang kelayakan Piala Dunia.

Thaer Krouma menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua untuk Syria, yang berada di tempat ke-94 dalam ranking Fifa, di hadapan hanya lebih 12,000 penonton di stadium berkapasiti 60,000 tempat duduk.

The Paper, melaporkan penyokong tuan rumah yang marah mencemuh pasukan kebangsaan mereka selepas tamat perlawanan itu dan menuntut bayaran semula tiket.

Rakaman video juga menunjukkan pemain China diejek dan penonton melaungkan: "Sangat memalukan!"

"Ia adalah keputusan yang mengecewakan bagi kami," kata Jankovic dipetik menerusi agensi berita Xinhua yang dikendalikan kerajaan, selepas tamat perlawanan.

"Kami meminta pemain untuk bangkit selepas seri menentang Malaysia, tetapi malangnya kami tidak dapat memenangi perlawanan ini.

"Amat mudah untuk saya bercakap mengenai pemain di atas padang bahawa mereka tidak cukup bagus, tetapi saya tidak suka berbuat demikian," tambah Jankovic, yang dilantik pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 8:17 PM