DR Rahmat berpengalaman mengadakan ibadah korban di Afrika sejak 14 tahun lalu. FOTO ihsan Muslim Care
DR Rahmat berpengalaman mengadakan ibadah korban di Afrika sejak 14 tahun lalu. FOTO ihsan Muslim Care
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


TIADA istilah lelah dalam membantu umat Islam melangkaui sempadan hingga ke lokasi paling terpencil di pelusuk dunia.

Terkini, Muslim Care Malaysia bakal mengadakan program bantuan kemanusiaan dan Misi Ibadah Korban Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) di Tanzania, Afrika dalam skala besar pada Aidiladha ini.

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, misi pertama kali dilakukan di negara Afrika itu bertitik tolak kewujudan majoriti masyarakat Islam daif terutama di Mwanzomgumu dan Chamazi iaitu lokasi penempatan miskin di pinggir ibu negara Tanzania, Dar es Salaam.

Menurutnya, walaupun dakwaan mengatakan kebanyakan penduduk negara itu beragama Kristian namun terdapat fakta menunjukkan majoriti rakyatnya adalah beragama Islam.

"Tanzania adalah termasuk negara termiskin di dunia dengan 33 peratus penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan selain tidak mampu membaca serta menulis.

“Misi Muslim Care Malaysia ini bukan hanya mengadakan ibadah korban malah melihat sendiri perkembangan Islam di negara itu selain keperluan umat Islam di sana.

"Melalui program dengan kerjasama badan bukan kerajaan, Sinar Korban Services dikelolakan Dr Rahmat Abdullah yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini, sekurang-kurangnya 60 lembu dan 100 kambing akan dikorbankan pada Aidiladha ini.

"Selain Dr Rahmat, misi ini akan turut disertai wakil Badan Kebajikan Islam Petronas, Hisamuddin Ibrahim.

“Muslim Care Malaysia yakin program ini mampu memberi manfaat kepada seramai 50,000 rakyat Islam di Tanzania.

Menurutnya, Muslim Care Malaysia turut akan melihat keperluan membina pusat Islam bagi mengembangkan usaha dakwah di negara itu.

Beliau berkata, selain pembinaan pusat dakwah dilengkapi masjid, Muslim Care Malaysia turut akan memfokuskan keperluan bahan pendidikan terutama bagi membantu golongan kanak-kanak dan remaja mendalami Islam.

PRESIDEN Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan.
PRESIDEN Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan.

“Selain itu, Muslim Care Malaysia akan melihat keperluan mengadakan projek bekalan air bersih di negara itu seperti yang pernah dilakukan di Chad, Afrika sebelum ini.

"Peruntukan kewangan bagi membiayai ibadah korban ini adalah hasil sumbangan dari sedekah dan amanah diberikan umat Islam di Malaysia yang prihatin dan mahu melaksanakan ibadat korban di Afrika itu. Semua wang ini dikelola dengan amanah, jujur dan diaudit oleh pengurusan Muslim Care Malaysia.

“Program di Tanzania ini adalah kesinambungan program sama yang pernah diadakan di beberapa negara lain sebelum ini.

Malah ahli jawatan kuasa Muslim Care Malaysia yang lain turut akan menjalankan ibadah korban serentak di beberapa negara lain antaranya membabitkan masyarakat Rohingya di Bangladesh, Nigeria, India, Yaman, Poland, Kemboja, Filipina, Chad, Palestin, Syria, Sudan, Indonesia, Nepal, Jordan dan Mesir.

“Kami bertanggung jawab dunia akhirat dengan menerima amanah dan kepercayaan dari semua pihak untuk membantu umat Islam,” katanya.

Menurutnya, Muslim Care Malaysia masih membuka peluang kepada masyarakat Muslim di Malaysia untuk melakukan ibadat korban dan aqiqah di Tanzania dengan menghubunginya di talian 019-2518771 atau 011-500 500 35 selain memasukkan sumbangan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882

Laporan dikeluarkan oleh Focus Economics pada Mac 2018 menyebut Tanzania berada di tangga kesembilan paling miskin di dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 7:07 PM