PELARIAN dan pendatang menanti untuk mendaftar dan mendapatkan dokumen perjalanan di sebuah stadium di Mytilene, timur laut Pulau Lesbos, Greece, semalam.  Lebih 15,000 pendatang dan pelarian terkandas di pulau berkenaan, menanti untuk disaring sebelum mereka menaiki bot ke tanah besar Greece dan merentasi Macedonia, Serbia dan Hungary untuk ke negara Eropah yang lebih kaya.

Paris: Menteri Dalam Negeri Perancis semalam mengecam tindakan beberapa datuk bandar di negara itu yang berkata, mereka hanya bersedia menerima pelarian beragama Kristian untuk ditempatkan di bandar masing-masing.

“Saya tidak faham mengapa ada penindasan dalam hal ini. Saya mengecamnya dan saya percaya sikap demikian amat buruk,” kata Bernard Cazeneuve dalam wawancara dengan stesen televisyen France 2.

“Seluruh masyarakat minoriti berdepan ancaman dengan apa yang berlaku di Syria. Penduduk Kristian dari negara itu dialu-alukan datang ke sini, tetapi ada juga penganut Islam dan minoriti lain yang berdepan dengan keganasan sama yang dihadapi penduduk Kristian di sana,” katanya.

Cazeneuve berkata, Perancis mesti bersedia menerima semua pelarian yang berdepan dengan ancaman tanpa mengira agama dan latar belakang mereka.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Bandar Roanne Yves Nicolin yang berkata, dia hanya bersedia menempatkan semula puluhan keluarga pelarian dengan syarat mereka beragama Kristian yang berdepan penindasan di Syria oleh militan Negara Islam semata-mata kerana agama mereka.

Datuk Bandar Belfort di timur Perancis Damien Meslot berkata, dia hanya akan menimbang menerima keluarga Kristian dari Iraq dan Syria.

Kedua-dua datuk bandar itu dari parti berhaluan kanan yang menjadi pembangkang di Perancis. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2015 @ 6:57 AM