PENDUDUK Khan Yunis kembali semula ke rumah selepas pengunduran tentera Israel. FOTO Reuters
PENDUDUK Khan Yunis kembali semula ke rumah selepas pengunduran tentera Israel. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: "Bau seperti kematian," kata Maha Thaer, ibu kepada empat anak ketika kembali ke bandar Khan Yunis di selatan Gaza yang musnah, selepas tentera Israel berundur.

"Kami tidak mempunyai bandar lagi, hanya runtuhan. Tiada apa-apa yang tinggal. Saya tidak dapat menahan diri daripada menangis semasa berjalan di jalan raya," kata wanita berusia 38 tahun itu kepada AFP.

"Semua jalan sudah hancur, dan baunya... Saya melihat orang menggali dan membawa keluar mayat," kata Thaer, yang sebahagian rumahnya musnah.

Selepas tentera Israel, pada Ahad, mengumumkan pengunduran di bandar itu, penduduk kembali semula ke rumah yang musnah dan mencari apa yang tinggal di kediaman mereka.

Hampir 400,000 orang tinggal di Khan Yunis dan sekitarnya, sebelum 7 Oktober tahun lalu.

Sebahagian besar kawasan itu kini musnah selepas beberapa bulan pengeboman dan pertempuran hebat antara tentera Israel dan pejuang Palestin.

Sekumpulan lelaki dan kanak-kanak lelaki yang menunggang kereta keldai, basikal dan trak pikap menuju ke utara dari Rafah di bahagian selatan Semenanjung Gaza, di mana lebih 1.5 juta rakyat Palestin berlindung daripada pencerobohan darat dan pengeboman Israel.

Mereka melepasi Hospital Al-Salam yang terbakar dengan hampir semua bangunan di sekelilingnya musnah.

Thaer, dari daerah Kota Hamad di barat Khan Yunis berkata, dia sangat terkejut dan sedih.

"Tiada dinding atau tingkap. Kebanyakan bangunan diletupkan sepenuhnya," katanya.

Thaer berkata, dia akan berpindah semula ke pangsapurinya yang rosak teruk, walaupun ia tidak sesuai untuk didiami, tetapi ia lebih baik daripada tinggal di khemah.

"Jiran juga mengalami musibah yang lebih besar, mereka mendapati rumah mereka musnah dan mereka tidak tahu ke mana mahu pergi," katanya.

Penduduk Gaza yang lain membawa tilam di kepala mereka dengan harapan masih mempunyai tempat untuk meletakkannya.

Salah seorang daripada mereka yang meninggalkan Rafah, memanjat puncak timbunan runtuhan di Khan Yunis yang pernah menjadi rumahnya.

Dengan segala-galanya di sekelilingnya hancur, gambar AFP menunjukkan lelaki itu berdiri di antara konkrit pecah dan bumbung besi yang beralun.

Imej lain menunjukkan sebahagian besar bandar itu sudah rata.

Tentera Israel memberitahu AFP bahawa ia menarik divisyen ke-98 tentera daratnya keluar dari bandar selatan Gaza itu pada Ahad untuk proses pemulihan, dengan seorang pegawai memberitahu media Israel bahawa mereka sudah membunuh ribuan pejuang Hamas di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 10:58 AM