PEMANDANGAN menarik di Kota Lama Warsaw.
PEMANDANGAN menarik di Kota Lama Warsaw.
ISTANA Budaya dan Sains yang menjadi mercu tanda Warsaw.
ISTANA Budaya dan Sains yang menjadi mercu tanda Warsaw.
ANTARA lukisan yang dijual di kawasan Kota Lama Warsaw.
ANTARA lukisan yang dijual di kawasan Kota Lama Warsaw.
SEBAHAGIAN pengunjung menyaksikan tinggalan sejarah Kota Lama yang musnah ketika Perang Dunia Kedua.
SEBAHAGIAN pengunjung menyaksikan tinggalan sejarah Kota Lama yang musnah ketika Perang Dunia Kedua.
PENULIS merakamkan gambar berlatar bangunan Istana Budaya dan Sains di tengah bandar Warsaw.
PENULIS merakamkan gambar berlatar bangunan Istana Budaya dan Sains di tengah bandar Warsaw.
Mohd Fadly Samsudin


Terletak berdekatan Sungai Vistula sekitar 260 kilometer dari Laut Baltik, Warsaw adalah ibu negara Poland dan bandar raya paling besar. Bandar raya ini juga adalah ibu kota Masovian Voivodship, iaitu tuan rumah kepada banyak industri; ia juga menampilkan 66 institusi pengajian tinggi antaranya Warsaw University, Stefan Wyszynski University dan Warsaw University of Technology.

Kesempatan berada di Warsaw, Poland baru-baru ini membawa Wartawan Jenayah Harian Metro, Mohd Fadly Samsudin () melawat bandar bersejarah yang pernah musnah ketika Perang Dunia Kedua.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Chopin, Warsaw, Poland, terasa lain kerana suasananya lengang, tidak seperti kebanyakan lapangan terbang antarabangsa lain yang biasanya sibuk. Penulis bertanya seorang rakan, secara berseloroh dia mengatakan pemandangan itu tidak pelik kerana Poland adalah bekas negara komunis yang pernah hancur musnah menyebabkan ia kurang menarik untuk dikunjungi.

Bagaimanapun, kesan kemusnahan teruk terutama Kota Warsaw ketika Perang Dunia Kedua hampir tiada lagi kerana semuanya dibangunkan semula. Apa yang dapat dilihat, Warsaw semakin membangun terutama jika diukur binaan bangunan pencakar langit di sana.

Terletak di Eropah Tengah, Poland bersempadan dengan Jerman di barat manakala Republik Czech dan Slovakia di sebelah selatan. Bahagian timur pula bersempadan dengan Ukraine dan Belarus serta Russia di utara.

Kebanyakan rakyat Poland tidak mahir berbahasa Inggeris dan mereka lebih selesa menggunakan bahasa ibunda mereka (Polska).

Malah bahasa Poland dikategorikan sebagai antara bahasa yang sukar untuk dikuasai.

Kunjungan penulis ke Warsaw adalah atas jemputan Muslim Care Malaysia dalam misi memeterai pembelian hartanah untuk dijadikan Pusat Islam bagi pelarian Chechnya dan Syria di negara itu. Penerimaan Islam di negara majoriti penganut Kristian Katolik itu juga semakin baik.

Secara keseluruhannya, 90 peratus daripada lebih 38 juta populasi penduduk Poland beragama Kristian Katolik manakala penduduk Islam dianggarkan hanya sekitar 30,000 orang.

Walaupun jurang itu terlalu besar, namun tiada tekanan ke atas golongan minoriti di sana malah kerajaan Poland membenarkan setiap penduduknya mengamalkan ajaran masing-masing. Sebelum ini, sindrom Islamophobia begitu menebal dalam kalangan masyarakat bukan Islam di sana.

Ia berikutan propaganda digambarkan media Barat menyebabkan Islam dilihat sebagai agama keganasan walaupun pada hakikatnya Islam mempromosikan kedamaian. Penulis bersama 11 lagi delegasi Muslim Care berasa bangga apabila dapat menyaksikan urusan pembelian hartanah seluas 1,670 meter persegi di kawasan Skalnicowa, Warsaw menjadi kenyataan.

Pemilikan hartanah berharga RM1.9 juta itu dibeli hasil sumbangan dikumpul rakyat Malaysia dan Eropah untuk melihat Islam terus berkembang di Eropah satu hari nanti.

Rombongan kami ke sana menaiki penerbangan British Airways dan mengambil masa selama 13 jam dari ibu negara sebelum transit di London. Penerbangan seterusnya dari London ke Warsaw, Poland pula mengambil masa dua jam setengah sebelum mendarat di Lapangan Terbang Chopin.

Waktu tempatan di Warsaw enam jam lewat daripada waktu di Kuala Lumpur. Semasa kunjungan penulis, cuaca di sana ketika itu memasuki musim panas. Namun, cuaca pada sebelah malam memang sejuk dan berada paras bawah 10 darjah Celsius.

Sebab itu, sebelum berlepas lagi penulis diingatkan supaya membawa sekali baju sejuk sebagai persediaan. Sepanjang tiga hari berada di Warsaw, rombongan kami menginap di Lucka Residence, sebuah apartmen di tengah pusat bandar berkenaan.

Dari apartmen itu dapat lihat bangunan Istana Budaya dan Sains yang menjadi mercu tanda kota Warsaw. Ia adalah bangunan tertinggi di Warsaw dibina pada 1952 dan siap sepenuhnya pada 22 Julai 1955.

Memiliki ketinggian 237 meter, pelancong dapat menikmati pemandangan seluruh Warsaw sekiranya waktu cerah. Lokasi lain yang wajib dikunjungi jika berpeluang ke Warsaw sudah tentu Kota Lama (Old Town) yang digelar masyarakat tempatan sebagai ‘Stare Miasto’.

Ia adalah lokasi menempatkan banyak bangunan bersejarah bercirikan seni Renaissance, Baroque dan Gothic yang satu ketika dahulu pernah musnah akibat peperangan. Ia boleh diibaratkan kita berjalan di kawasan kota lama Eropah.

Masyarakat Poland juga sangat menghargai sejarah. Tidak hairanlah, muzium menjadi sesuatu yang sangat dihargai. Kawasan itu juga menempatkan dataran luas yang menjadi tempat berkumpul penduduk pada zaman dahulu.

Ramai pelukis dan pemuzik jalanan menjadikan kawasan itu sebagai tempat mereka mencari rezeki dengan mempamerkan hasil seni lukisan serta bermain alat muzik bagi menghiburkan pengunjung.

Pemandangan kota lama itu menceritakan pengalaman berbeza mengikut musim. Pada musim sejuk, kawasan itu akan dipenuhi salji.

Setiap kali tibanya perayaan Hari Natal, kawasan itu diadakan ‘Christmas Market’.

Di situ, diadakan pasar atau kios berkonsepkan tradisi masyarakat Poland dengan menjual pelbagai barangan dan makanan tradisional mereka.

Gelanggang luncur ais juga akan dibuka apabila tiba musim sejuk.

Tugu Mermaid (duyung) boleh dijumpai di tengah kota lama berkenaan. Masyarakat dahulu percaya duyung itu menjaga keamanan pekan daripada sebarang huru-hara dan kacau-bilau.

Dari Kota Lama, pengunjung boleh terus ke kawasan digelar ‘Nowe Miasto’. Di sana pengunjung boleh melihat bangunan keseluruhannya dibina dengan bata merah. Ia lokasi sesuai bagi peminat fotografi kerana ada banyak bangunan lama memiliki sentuhan seni tertinggi.

Penulis dapat saksikan ramai pelancong datang secara berkumpulan termasuk pelajar sekolah melawat serta menyaksikan kesan tinggalan sejarah kota itu yang pernah hancur sehingga rata oleh tentera Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

Pada 1950-an barulah ia dibangunkan semula dan mengambil masa 10 tahun. Kawasan itu kini didaftarkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Seperkara menarik mengenai Poland adalah kadar tukaran wangnya, Zloty hampir sama dengan nilai ringgit kita.

Bagaimanapun, kita perlu menyediakan mata wang Euro terlebih dahulu sebelum ditukar kepada Zloty. Mengenai pengangkutan awam di Warsaw, di sana pengunjung boleh menggunakan bas serta perkhidmatan sistem trem yang luas merentasi bandar.

Dianggarkan lebih 1,500 bas beroperasi di sekitar bandar di mana jadual perjalanan bermula dari jam 5 pagi hingga 11 malam. Ikutkan banyak lagi lokasi menarik di Poland tidak sempat dilawati penulis kerana jadual program yang padat. Ini termasuk Stadium Nasional Warsaw yang popular ketika Poland dan Ukraine menjadi tuan rumah bersama Euro 2012.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:01 AM