Dengan pelbagai isu dihadapi parti belum selesai, ‘suhu’ Perhimpunan Agung UMNO tahun ini dijangka lebih panas menyebabkan pengurusan parti dikatakan terpaksa mengambil tindakan drastik ‘mengawal’ jurucakap atau pembahas usul.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut termasuk berkaitan perbahasan usul, wartawan Harian Metro NASHARUDDIN MUHAMMAD dan YUSMIZAL DOLAH ALING menemu bual Naib Presiden UMNO DATUK SERI HISHAMMUDDIN HUSSEIN di pejabatnya di ibu negara.

Dengan pelbagai isu yang timbul (dalam parti), ada pihak mengatakan usul akan ditapis dan sebagainya, apa pandangan Datuk Seri?

Ini yang saya nak betulkan. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap, apa yang kita lakukan setiap tahun tiada perubahan, malah ada penambahbaikan kerana tahun ini kita pastikan usul datang daripada akar umbi yang dibawa di peringkat bahagian.

Jumlah usul diterima untuk rujukan 513 dan yang diterima tanpa bahas 225, tak ada satu usul yang kita tolak, menjadikan jumlah usul diterima 738. Jumlah bahagian 191 dan yang menghantar usul 170, bermakna yang tidak hantar usul ada 21. Namun, ia bukan di bawah kuasa kita kerana bahagian yang menentukannya.

Angka yang saya sebutkan itu kemudian dikumpul, diteliti dan cuba dirangkum dengan usul Majlis Tertinggi (MT). Bermakna kalau kata kita nak cuba kongkong, tak mungkin kerana suara ini datang daripada bahagian, ini saluran parti.

Tahun ini juga kita buat konvensyen pada 24 November lalu membabitkan pihak lain selain parti seperti NGO, pemikir akademik dan pemikir agama untuk memberikan input. Ada lapan perkara dibangkitkan dalam konvensyen itu, pertama, pentingnya perpaduan bangsa, tetapi bukan saja dalam konteks bahagian atau parti kerana konvensyen ini membabitkan pihak ketiga dan mereka pun berkehendakkan perpaduan Melayu.

Kedua, sebarang masalah dalaman perlu ditangani dengan bijaksana. Ketiga, sentiasa mendengar denyut nadi rakyat. Keempat, fitnah dan kesan politik negatif. Kelima, ancaman terhadap terrorisme, IS dan Islamofobia. Keenam, mitigasi terhadap ancaman ekonomi luar negara. Ketujuh, tiada toleransi ke atas kebiadapan keluhuran undang-undang dan kekeramatan Perlembagaan dan kelapan, agenda Bumiputera dalam konteks ASEAN.

Konvensyen ini kita buat untuk orang di luar parti, malah usul yang kita kupas ini pun datangnya daripada pihak yang berkepentingan, jadi apa cara dan bagaimana kita hendak sekat.

Adakah MT membincangkan semua 738 usul itu?

Tidak. Daripada 738 usul yang sampai, kita tengok yang mana agenda nasional dibincangkan dalam perhimpunan. Ada yang berhubung kait dengan parit, surau dan hal-hal lain di bahagian, itu kita tapis dan disalurkan terus kepada kementerian yang berkenaan. Tetapi, usul yang merujuk kepada perjuangan parti, kita tak tapis, sebaliknya kita cuba masukkan dalam usul MT dan jika diterima, itulah usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan.

Usul apa yang paling kukuh?

Kalau tengok dari segi jumlah, majoritinya isu yang menyokong kepemimpinan presiden. Ini fakta. Ia mungkin tidak menjadi satu perkara yang sensasi, yang bagus untuk laporan berita dan menyeronokkan untuk media, tetapi kita bercakap mengenai fakta.

Saya tidak tambah-tambah, tetapi kalau media hendak tahu yang terbanyak yang dinyatakan di peringkat bahagian, dalam apa juga keadaan, mereka (bahagian) tetap menyokong kepemimpinan Datuk Seri Najib (Razak).

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Usul dan Jurucakap, apa yang Datuk Seri harapkan daripada pembahas nanti?

Harapan saya banyak kalau hendak dirumuskan. Biarlah kritikan yang membina, saranan yang berguna dan kalau ada nasihat untuk kita, nasihat yang bermakna. Ini yang saya beritahu kepada jurucakap, pertama, apa yang mereka hendak bahas mesti bersandarkan kepada harapan, aspirasi akar umbi dan jangan lari daripadanya. Ini bimbingan, bukan kongkongan kerana usul ini datang daripada bahagian dan konvensyen kita.

Kita tak sekat, kalau nak tegur, tegurlah. Kalau nak kritik, kritik. Kalau nak buat saranan, sarankan tapi biar ia membina, berguna dan bermakna. Itu tiga perkara yang menjadi harapan saya. Sama ada ia berlaku minggu depan, Wallahualam.

Datuk Seri, kalau ada jurucakap yang membangkitkan isu membabitkan presiden dan kepemimpinan?

Kita tak boleh sekat sebenarnya. Semasa Tun Dr Mahathir (Mohamad), ketika presiden lain pun, kalau dia nak cakap, dia cakap. Bukan mudah duduk di atas pentas. Saya tahulah. Ketika zaman Pemuda dulu, saya kena teruk termasuk peribadi. Kita boleh terima kritikan, tapi biarlah ia membina dan apa juga cadangan, mesti konstruktif, apa juga kritikan, jangan sampai menghancurkan parti. Biarlah tertib.

Saya rasa semua pemimpin daripada Datuk Seri Najib sehingga ahli MT, semua boleh ditegur dan dikritik, itu perkara biasa. Saya sendiri pun biasa kena. Cuma dalam kita nak kritik, nak tegur, jangan sampai kita menunjukkan kepada pihak luar bahawa UMNO dalam keadaan yang teruk sangat. Jadi kita kena tengok perhimpunan kali ini dalam perspektif yang betul. Kalau tidak, semua kembali kepada polemik, isu sensasi. Kita seronok, kita sorak, kita tepuk untuk tiga hari, tapi kampung kita tergadai.

Datuk Seri, pada perhimpunan agung kali ini seperti ada keperluan untuk memilih antara setiakawan dan pengorbanan?

Kalau tengok ucapan saya ketika krisis (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, ayat itulah yang saya sebutkan dalam ucapan dasar Ketua Pemuda. Memang akan ada antara kita yang berada di persimpangan, terpaksa memilih antara kawan dan perjuangan. Kita sudah melalui semua ini, malah kita sudah melaluinya lebih getir lagi dalam sejarah UMNO.

Ketika UMNO diwujudkan, pengasas UMNO keluar parti, pengasas UMNO wujudkan parti baru, pengasas UMNO tak diterima oleh UMNO Johor sendiri hingga Datuk (Seri) Onn terpaksa ke Terengganu. Anwar Ibrahim lagi teruk, ke jalanan. Pemuda pecah dua ketika itu sehingga saya terpaksa memangku dalam keadaan belum siap sedia pun.

Jadi, kita bercakap mengenai keadaan yang lebih teruk. Ini belum bercakap pasal Datuk Harun, Tun Musa Hitam, Semangat 46, Tengku Razaleigh, Tun Dr Ismail meletak jawatan ketika (era) Tunku Abdul Rahman. Jadi kalau kita nak tengok dalam sejarah UMNO, kita sudah lalui pelbagai.

Saya bukan perkecilkan apa yang terpaksa kita hadapi tapi hari ini, dalam konteks apa yang UMNO sudah lalui sebelum ini, kita sudah berdepan dengan dugaan dan ujian yang sama berat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:10 AM