XI Jinping. FOTO AFP
XI Jinping. FOTO AFP
Agensi

Beijing: Sepanjang dua dekad yang lalu, China sudah memberikan pinjaman yang besar kepada negara membangun untuk menyokong projek sektor awam dan swasta melalui Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI).

Tempo.co melaporkan, Presiden Xi Jinping melancarkan dasar luar negaranya itu pada 2013 yang berhasrat untuk melabur di hampir 70 negara dan organisasi antarabangsa.

Bagaimanapun, portal sama melaporkan kajian mendapati bahawa BRI China mengakibatkan puluhan negara berpendapatan rendah dan sederhana terperangkap dalam hutang berjumlah AS$385 bilion.

Dana itu biasanya digunakan untuk membiayai pembinaan pelabuhan, kereta api, dan infrastruktur darat.

Menurut AidData, sebuah pusat penyelidikan pembangunan antarabangsa yang berpangkalan di Institut Penyelidikan Global William & Mary, China menyumbang kepada 13,427 projek bernilai AS$843 bilion di 165 negara, sepanjang 18 tahun lalu sehingga 2017.

Memetik daripada The Nation Thailand, Forbes melaporkan 97 negara berhutang China mengikut data yang dikumpul oleh Bank Dunia.

Kebanyakan negara yang mempunyai hutang besar kepada China berada di benua Afrika, dan beberapa daripadanya di Asia Tengah, Asia Tenggara dan rantau Pasifik.

Negara berpendapatan rendah berhutang 37 peratus daripada hutang mereka kepada China pada 2022, berbanding hanya 24 peratus dalam hutang dua hala kepada seluruh dunia.

Berikut adalah senarai lapan negara yang mempunyai hutang terbesar kepada China. Untuk rekod, senarai ini hasil semakan Tempo.co, setakat Januari 2024.

PAKISTAN

Pakistan mempunyai hutang AS$77.3 bilion (kira-kira RM363 bilion) kepada China.

Di bawah inisiatif Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), China melabur banyak dalam pelbagai projek infrastruktur di Pakistan.

Walaupun projek itu bertujuan untuk memacu pembangunan, kebimbangan timbul mengenai keupayaan negara untuk membayar balik hutang itu.

ANGOLA

Negara di selatan Afrika, Angola salah satu pelanggan Afrika terbesar China, berhutang kepada Beijing sebanyak AS$36.3 bilion (kira-kira RM170 bilion) untuk projek infrastruktur dan industri minyak domestiknya.

HABSYAH

Habsyah bersetuju menerima pinjaman AS$7.9 bilion (kira-kira RM37 bilion) daripada China.

Menurut laporan Reuters sebelum ini, China komited untuk menyediakan pinjaman AS$13.7 bilion (kira-kira RM64.4 bilion) menjelang 2020, tetapi kira-kira separuh daripada jumlah itu sudah direkodkan dan tidak jelas bila hutang itu akan dibayar.

KENYA

Kenya berhutang sejumlah AS$7.4 bilion (kira-kira RM34 bilion) kepada China.

Pinjaman daripada China melonjak pada tahun awal pentadbiran presiden Uhuru Kenyatta.

Tempoh 2013 hingga 2022 apabila Presiden Kenya semasa iaitu William Ruto meluluskan kredit untuk pembinaan projek Standard Gauge Railway (SGR) yang menghubungkan Pelabuhan Mombasa ke ibu kota Nairobi.

SRI LANKA

Pada Mei 2022, Sri Lanka gagal membayar hutangnya kepada China yang mencecah AS$6.8 bilion (kira-kira RM28 bilion)

Akibatnya, Sri Lanka terpaksa menyerahkan pelabuhan selatan Hambantota kepada China dengan pajakan selama 99 tahun.

MALDIVES

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Maldives, hutang negara itu kepada China meningkat kepada AS$6.39 bilion (kira-kira RM30 bilion) pada akhir suku pertama 2022, atau 113 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Projek yang dibiayai oleh China termasuk Jambatan Sinamale dan pembangunan lapangan terbang.

BANGLADESH

Bangladesh mempunyai hutang AS$4 bilion (kira-kira RM18 bilion) kepada China.

Menurut laman web Kedutaan China di Bangladesh, pinjaman itu digunakan untuk menyokong pembangunan infrastruktur dan industrinya, seperti Projek Dasherkandi STP, Projek Info-Sarker-Fasa-3, Terowong Pelbagai Lorong di bawah projek Sungai Karnaphuli, dan Loji Rawatan Air Permukaan Rajshahi.

INDONESIA

Menurut data Statistik Hutang Luar Negeri Indonesia (SULNI) yang dikeluarkan oleh Bank Indonesia (BI), pinjaman China kepada Indonesia mencecah AS$27.08 bilion (kira-kira RM127 bilion) setakat November 2023.

Bagaimanapun, data itu tidak menjelaskan jumlah hutang yang sudah dibayar dan masih berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 3:41 PM