BANGUNAN Parlimen.
BANGUNAN Parlimen.
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Sebanyak 50 aduan atas kesalahan menghendap direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat 31 Mei lalu, dengan 43 daripada kes membabitkan pelaku lelaki.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pendakwaan pertama bagi kesalahan itu dibuat pada Ogos tahun lalu.

Memberikan perincian lanjut, katanya empat daripada aduan membabitkan wanita, manakala tiga lagi pelaku tidak dapat dikenal pasti jantinanya.

"Ada jantina dan umur pelaku yang tidak dapat dikenal pasti kerana pelbagai faktor antaranya kerana perlakuan jenayah menghendap dilakukan secara dalam talian.

"Bagi pecahan pelaku mengikut umur, 30 orang berumur 18 tahun dan ke atas, 20 aduan tidak diketahui (umur) dan tiada pelaku berumur bawah 18 tahun dilaporkan," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin tahu kajian dan statistik mengikut jantina, demografi dan umur pelaku Akta Anti-Menghendap dan Akta Gangguan Seksual.

Nancy turut memaklumkan, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) dikuatkuasakan sepenuhnya 8 Mac lalu.

Sehingga 8 Jun lalu, katanya, sebanyak empat aduan gangguan seksual diterima Tribunal bagi Antigangguan Seksual.

"Pecahan data menunjukkan bagi keempat-empat aduan, pelaku atau respondennya adalah lelaki berumur 18 tahun ke atas.

"Sejak pengoperasian Tribunal bagi Antigangguan Seksual, sesi pendengaran kes kali pertama dibuat pada 23 Mei 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 11:26 AM