RAFIZI Ramli. FOTO Arkib NSTP.
RAFIZI Ramli. FOTO Arkib NSTP.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini menyatakan penyasaran subsidi dibuat secara tiba-tiba kerana mahu mengimbangi kesan yang berlaku.

Beliau turut memberikan contoh, sekiranya jumlah penyasaran subsidi itu diumumkan lebih awal, ia akan menyebabkan berlakunya banyak kali kenaikan harga barang.

Ini kerana katanya, kenaikan harga barang itu ditetapkan oleh peniaga.

"Kalau contohnya diumumkan lebih awal berapa dan sebagainya, itu akan menyebabkan kenaikan harga barang itu boleh berlaku berkali-kali.

"Sebab itu keputusan kerajaan ialah lebih baik (penyasaran subsidi) dibuat apabila semuanya telah selesai di peringkat kerajaan.

"Itu akan mengurangkan risiko kenaikan yang berkali-kali (dan) berbulan berlaku apabila peniaga-peniaga menggunakan alasan untuk tempoh yang akan datang ada beberapa siri kenaikan," katanya menerusi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengapa penyasaran subsidi diesel dibuat secara mengejut sebelum ini.

Sebelum ini turut dilaporkan, Rafizi dalam satu wawancara bersama Bloomberg menyatakan kerajaan akan menggunakan strategi sama, iaitu dengan tidak membuat makluman awal kepada umum berkenaan sebarang keputusan berkaitan penyasaran subsidi petrol RON 95.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, keputusan mahu melaksanakan penyasaran subsidi itu sebaiknya hanya dikekalkan di peringkat pengetahuan kerajaan saja.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, perkara itu kemudiannya akan diumumkan sebaik saja kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 11:41 AM