Los Angeles (Amerika Syarikat): Star Wars: The Force Awakens menjadi filem paling pantas mencatat kutipan box-office mencecah AS$1 bilion (RM4.3 bilion), hari ini sejak mula ditayangkan 12 hari lalu.

Disney menerusi kenyataannya berkata, filem arahan J J Abrams itu mencatat kutipan jualan AS$545 juta (RM2.34 bilion) di Amerika Utara dan AS$546 juta (RM2.35 bilion)di negara lain kecuali China yang akan ditayangkan pada 9 Januari ini.

Rekod sebelum ini dipegang filem Jurassic World yang mencatat kutipan sebanyak itu dalam tempoh 13 hari.

Menurut Disney, The Force Awakens turut menjadi filem paling laris di Amerika Utara tahun ini dan kelima terlaris sepanjang zaman apabila mencatat kutipan box-office AS$49.3 juta (RM212 juta) untuk tayangan hari Krismas lalu.

Filem ketujuh Star Wars ini menjadi filem paling ditunggu-tunggu tahun ini apabila ia menggabungkan kembali watak ikonik Star Wars seperti Han Solo (lakonan Harrison Ford), Luke Skywalker (Mark Hamill) dan Princess Leia (Carrie Fisher).

The Force Awakens mengisahkan kejadian yang berlaku kira-kira 30 tahun selepas Star Wars: Return Of The Jedi yang diterbitkan pada 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 11:11 AM