PEMINAT AS sanggup habiskan RM22,000 untuk terbang ke Paris semata-mata mahu tonton 48 jam sebelum ditayang di negara sendiri.
PEMINAT AS sanggup habiskan RM22,000 untuk terbang ke Paris semata-mata mahu tonton 48 jam sebelum ditayang di negara sendiri.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Penantian jutaan peminat seluruh dunia berakhir semalam apabila filem paling ditunggu-tunggu, Star Wars: The Force Awakens mula ditayangkan.

Filem arahan J J Abrams ini mula ditayangkan di negara ini semalam dan di Amerika Syarikat (AS) hari ini.

Penulis juga bertuah kerana menjadi antara orang terawal di negara ini dan mungkin di dunia menonton filem epik ini sempena tayangan untuk media di Petaling Jaya, pagi kelmarin.

Apatah lagi apabila memikirkan ada peminat dari AS sanggup membayar sehingga AS$5,000 (RM22,000) untuk terbang ke Paris, kelmarin semata-mata mahu menontonnya 48 jam sebelum ditayangkan di negara sendiri.

Walaupun sebelum ini pencipta Star Wars, George Lucas me­nyatakan kekecewaannya apabila pemilik baru francais itu, Disney menolak beberapa cadangan dikemukakannya untuk Star Wars - The Force Awakens, ia bukanlah halangan untuk peminat menyerbu pawagam.

Lucas dalam temu bual sebelum ini berkata, pihak Disney sudah tidak berminat menggunakan jalan cerita seperti asalnya dan mengambil keputusan untuk menghasilkan karya mengikut cita rasa sendiri.

“Ramai orang tidak menyedari Star Wars sebenarnya drama penglipur lara mengisahkan masalah keluarga dan bukan mengenai kapal angkasa,” katanya.

Bagaimanapun, apa yang menarik mengenai The Force Awakens ialah ia berlatarkan kisah 30 tahun selepas Return of the Jedi yang ditayangkan pada 1983.

Selain itu, tentunya kemunculan semula watak ikonik Star Wars seperti Han Solo (lakonan Harrison Ford), Luke Skywalker (Mark Hamill) dan Princess Leia (Carrie Fisher).

Pengarahnya, Abrams ternyata berjaya memberikan satu cerita yang mudah difahami bukan sahaja oleh pengikut setia Star Wars, tetapi juga buat mereka yang pertama kali menontonnya.

Dalam The Force Awakens, tiga trio generasi baru yang menjadi tunjang utama iaitu Poe Damero lakonan Oscar Isaac, Finn (John Boyega) dan Rey (Daisy Ridley) menentang First Order, sebuah angkatan tentera Stormtroopers yang diketuai Kylo Ren lakonan Adam Driver.

Rey pada awalnya ialah seorang gadis pemungut bang­kai kapal angkasa di planet padang pasir sebelum mendapati dirinya mempunyai kuasa untuk memacu pedang lightsaber milik Luke Skywalker.

Finn pula ialah anggota Stormtrooper yang lari daripada First Order selepas menyedari angkatan itu adalah kuasa jahat.

Dia kemudian bertemu dengan Poe sebelum pesawat mereka terhempas dan terputus hubungan.

Finn kemudian bergabung dengan Rey dan berjuang menyelamat­kan diri sehingga mereka bertemu dengan Han Solo dan Princess Leia yang kini bergelar Jeneral.

Watak Ren yang juga anak kepada Leia dan Han Solo dilihat sebagai Darth Vader ‘junior’ dengan jubah hitam dan memakai topeng kepala hitam.

Selain pertempuran antara kuasa baik dan jahat, satu lagi nilai yang dapat dilihat dalam filem ini adalah hubungan antara bapa dan anak apabila Han berbicara dengan Ren, bagi memujuknya untuk membuang kuasa jahat dalam dirinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:01 AM