Oleh Arifin Salleh

Melaka: Seorang kontraktor pelupusan sampah kerugian hampir RM70,000 apabila kabin menempatkan ruang pejabat dan tempat tinggal tiga pekerjanya terbakar di Taman Seri Krubong, Kerubong, di sini pagi tadi.

Kejadian 5.40 pagi itu disedari tiga pekerja warga Bangladesh berusia antara 20 ke 30-an yang sedang tidur di kabin berkenaan selepas terhidu bau asap.

Mereka bagaimanapun sempat keluar menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Azlan Wan Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan 6.04 pagi kejadian.

Menurutnya, seramai 14 pegawai dan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan ll Shahrulnizam Sidek bergegas ke tempat kejadian bersama dua jentera dengan bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu.

"Anggota kami tiba di lokasi kejadian pada 6.19 pagi dan api dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.45 pagi," katanya.

Menurut Wan Azlan, kejadian dipercayai berpunca dari litar pintas bahagian pejabat dalam kabin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 1:31 PM