AFP

Abu Dhabi: Lewis Hamilton mahu menyekat rentak kemenangan rakan sepasukan Mercedes Nico Rosberg dan mengakhiri kejayaan menjulang tiga kejuaraan musim ini dengan cemerlang pada Grand Prix Abu Dhabi hujung minggu ini.

Pelumba Britain berusia 30 tahun itu yang mula hilang tumpuan dan prestasi sejak menjulang gelaran dunia buat kali ketiga di Grand Prix Amerika Syarikat bulan lalu, mahu mengucapkan kasih kepada peminatnya atas sokongan mereka dengan satu lagi kemenangan di litar Yas Marina.

Dia meraih gelaran keduanya dan yang pertama bersama Mercedes di litar Abu Dhabi tahun lalu menerusi saingan sengit dengan rakan sepasukannya yang berdepan masalah mekanikal.

Bagaimanapun tahun ini, dia kelihatan lebih tenang dan bertekad menghalang Rosberg melengkapkan hatrik kemenangan untuk membawa momentum itu sehingga 2016.

“Tahun lalu, tempat ini memberikan hujung minggu yang paling mencabar dalam kehidupan saya,” kata Hamilton.

“Saya tidak dapat tidur kerana gementar dan tidak tahu apa yang ada di hadapan, namun kali ini tiada tekanan, jadi saya dapat berehat dengan tenang dan mahu berlumba cemerlang.

“Saya benar-benar suka memandu di sini. Ia sebuah litar yang mencabar. Ada beberapa selekoh tajam tapi kebanyakannya hanya berkelajuan sederhana dan rendah jadi biarpun mempunyai laluan lurus panjang anda perlu menyelaraskan kereta supaya tahap tekanan ke bawah sesuai dengan cengkaman kelajuan rendah.

“Perlumbaan itu juga berlangsung pada waktu senja, bermula lewat petang hingga ke malam. Sesuatu yang pelik dan saya dapat bayangkan saingan pasti hebat apabila ditonton di televisyen.

“Ramai peminat Britain akan datang, jadi ia bagaikan perlumbaan di tempat sendiri bagi saya dan kemenangan akan menunjukkan betapa saya menghargai sokongan hebat yang diterima selama ini untuk mengakhiri musim menakjubkan dengan cara terbaik.”

Rosberg, yang menduduki tangga kedua kejuaraan dengan kemenangan di Mexico dan Brazil, akan memburu petak pertama keenam dan satu lagi kemenangan demi mengukuhkan penguasaan saat akhir berbanding Hamilton.

“Abu Dhabi bukan litar mudah bagi saya,” katanya.

“Tahun lalu mungkin paling mengecewakan tapi saya buktikan dengan menduduki petak pertama dan kini mempunyai momentum yang baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 8:06 AM