Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. FOTO Gambar Abdullah Yusof
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. FOTO Gambar Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Mayat seorang pengawal keselamatan ditemui di dalam longkang sedalam satu meter di kawasan tapak pembinaan di Gunung Lang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mayat C Mogan, 53, ditemui dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di beberapa bahagian badan dan hidungnya berdarah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Rani Alias berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan 4.34 petang daripada orang awam memaklumkan berhubung penemuan mayat itu.

Katanya, hasil siasatan awal terhadap mayat berkenaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia kira-kira tiga jam lalu.

"Siasatan awal polis mendapati mangsa terjatuh dalam longkang berkenaan sebelum bangun dan bergerak antara 20 hingga 25 meter berdasarkan cap jari mangsa yang ditemui pada tiang bangunan di situ.

"Mangsa kemudiannya dipercayai jatuh semula dalam keadaan tertiarap dengan kesan luka di beberapa bahagian badan dan hidungnya berdarah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Abdul Rani berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati kereta digunakan mangsa masih berada di lokasi kejadian dan barangan peribadi turut berada dalam kereta.

"Polis menolak sebarang unsur jenayah berikutan barangan peribadi mangsa masih berada di lokasi kejadian namun polis sedang mencari kunci kereta mangsa yang masih hilang.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2017 @ 7:37 PM