PASUKAN FELDA United FC menjalani  latihan di padang Wisma FAM, semalam.
PASUKAN FELDA United FC menjalani latihan di padang Wisma FAM, semalam.
Oleh Firdaus Hashim


Kelana Jaya: Jurulatih FELDA United Irfan Bakti Abu Salim menjanjikan tentangan sengit buat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila bakal menurunkan kesebelasan terbaiknya pada saingan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang), malam ini.

Keyakinan itu disuarakan Irfan selepas mengesahkan kesemua pemain The Fighters bebas daripada kecederaan ketika beliau meletakkan sasaran mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke Larkin, Sabtu ini.

Katanya, pasukannya sudah bersedia untuk berdepan juara Piala AFC itu yang jelas berada pada tahap terbaik, namun pengendali berusia 64 tahun itu enggan memikirkan soal berkenaan dan sebaliknya fokus terhadap persiapan pasukannya sendiri.

“Apa yang saya mahu, kami tidak melepaskan sebarang gol di Selayang. Jika mereka (Johor DT) berjaya mendapatkan jaringan, kemungkinan besar perlawanan di Larkin nanti sukar buat kami.

“Oleh itu, misi utama kami adalah mencari kemenangan tidak kira berapa gol sekalipun, asalkan tidak dibolosi kerana jaringan di tempat lawan akan diambil kira untuk perlawanan kedua.

“Apapun, kami sudah cukup bersedia. Saya lihat pemain begitu bersemangat, malah tidak sabar untuk turun beraksi,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan terakhir di padang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, semalam.

Berdasarkan rekod pertemuan di Liga Super antara kedua-dua pasukan musim ini, FELDA United dilihat mempunyai pencapaian lebih baik apabila meraih kemenangan tipis 2-1 ketika di Selayang pada 22 Ogos lalu.

“Kalau ikutkan rekod pertemuan di Selayang, memang kami memiliki sedikit kelebihan kerana berjaya menewaskan mereka. Tapi, di Johor kami tewas, sebab itu perlu menang dan cuba tidak dibolosi.

“Bukan itu saja, saya harap pertahanan kami lebih kemas kerana perasaan gugup boleh mengganggu fokus pemain. Perasaan gugup itu sudah tentu ada pada setiap pemain, namun saya harap pemain dapat mengawalnya agar kesilapan dapat dielakkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:04 AM