Oleh Mohd Firdaus Hashim


Bangi: Aksi suku akhir kedua antara Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dan Terengganu malam ini pasti diikuti penuh minat FELDA United untuk mengetahui bakal pencabar di separuh akhir nanti.

Jika sebelum ini Irfan Bakti Abu Salim lebih gemar mengunci mulut mengenai pasukan pilihannya bagi berdepan The Fighters, bekas pengendali skuad Peteh dari musim 2009 hingga 2011 itu lebih selesa menanti Johor DT berbanding pasukan dari Pantai Timur itu.

Hakikat itu berlandaskan kepada rangkaian serangan yang cukup ampuh dimiliki anak buah Abdul Rahman Ibrahim di samping tiga pemain utama iaitu Ashaari Shamsuddin, Nor Farhan Muhammad dan Ismail Faruqi yang sudah lama bergandingan bersama sejak beliau membimbing pasukan itu empat tahun lalu.

"Seperti sering saya katakan sebelum ini, kami tidak memilih lawan separuh akhir. Berada di peringkat empat pasukan terbaik sekarang, kami tidak kisah sama ada Johor DT atau Terengganu, yang penting pemain fokus dan beri komitmen sepenuhnya.

"Tapi secara peribadi, saya lebih selesa jika kami dapat jumpa Johor DT kerana saya kenal kebanyakan pemain Terengganu.

"Pemain Terengganu sudah bermain bersama agak lama, keserasian antara mereka cukup baik dan itu satu kelebihan buat mereka.

"Memang benar Johor DT mempunyai pemain termahal di Malaysia, tapi kami tidak kisah kerana bola sepak permainan berpasukan dan mereka yang kurang melakukan kesilapan akan berjaya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Padang Bank Simpanan Nasional (BSN), Bangi, semalam.

Jelas Irfan lagi, pasukannya kini bebas daripada sebarang masalah kecederaan dan berjanji bakal mempertaruhkan barisan terbaik pada aksi di tempat sendiri bagi mencari bekalan selesa sebelum bertandang ke halaman lawan nanti.

"Sudah pasti setiap pasukan inginkan kemenangan perlawanan pertama. Memandangkan ini pusingan separuh akhir dan gol di tempat lawan diambil kira, saya mahu pemain agar menyekat kubu kami daripada dibolosi dan mencari seberapa banyak gol di Selayang.

"Semua pemain dalam keadaan sihat dan semuanya boleh diturunkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:32 AM