Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: "FELDA United tidak akan 'parkir bas' di depan gawang sendiri di Larkin!"

Itu janji penyerang berpengalaman FELDA United Indra Putra Mahayuddin kepada Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menjelang aksi penuh getir separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos esok.

Menurut pemain berusia 33 tahun itu, dia percaya corak permainan menyerang sebagai 'pertahanan' terbaik mereka untuk mencatat kemenangan daripada hanya mempertahankan kelebihan satu gol hasil kemenangan 4-3 pada pertemuan pertama di Selayang Isnin lalu.

"Johor DT masih belum tewas musim ini apabila bermain di Larkin. Ini memberikan amaran kepada kami supaya perlu meningkatkan permainan serta kesungguhan ketika beraksi di sana. Namun ini tidak bermakna FELDA akan 'parkir bas' di depan pintu gol sendiri untuk mengelak kalah. Kami mempunyai falsafah permainan tersendiri dan akan tetap bermain seperti biasa, menyerang habis-habisan," kata pemain kebangsaan itu.

Berbekalkan sedikit modal ke Larkin, FELDA United kendalian Irfan Bakti Abu Salim dilihat berdepan tugas sukar melepasi halangan separuh akhir kedua itu kerana skuad Harimau Selatan cukup digeruni apabila beraksi di depan ribuan penyokong setia mereka.

Namun semangat juang The Fighters juga tidak boleh diperlekehkan apabila mereka masih boleh menang pada aksi di Selayang tempoh hari meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama 34 minit separuh masa kedua selepas pertahanan Nasriq Baharom dilayangkan kad merah.

Bagi Indra Putra yang sudah tiga kali mendakap kejuaraan paling berprestij itu, dia percaya pasukannya kini berada di tahap terbaik untuk melakar sejarah ke final sekali lagi selepas muncul naib juara Piala FA musim ini.

"Johor DT pasukan pilihan dan mereka pasti lebih tertekan berbanding kami. Kami tahu mereka akan menyerang untuk mendapatkan gol awal tapi kami sudah bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:03 AM