JUREE ketika menyerah diri kepada polis baru-baru ini.
JUREE ketika menyerah diri kepada polis baru-baru ini.

Chumphon (Thailand): Seorang wanita yang didapati bersalah membunuh bakal menantunya sendiri secara rasmi kembali dari ‘kematian’ semalam selepas pihak berkuasa di wilayah ini membatalkan sijil kematiannya.

Gabenor Chumphon, Somdee Kachayoungyuen berkata, pegawai di daerah Tha Sae membatalkan dokumen kematian Juree Jan-ngam, 72, yang menipu kematiannya sendiri bagi mengelak dihukum penjara.

Menurutnya, pihaknya akan menghubungi Jabatan Pentadbiran Wilayah untuk mengeluarkan nama Juree dalam rekod kematian di pangkalan data Kementerian Dalam Negeri.

Sijil itu dikeluarkan di daerah berkenaan pada 24 Februari tahun lalu selepas anak perempuan Juree, Rasamee memberitahu pegawai ibunya sudah meninggal dunia.

Rasamee kemudian memfailkan satu petisyen di mahkamah Songkhla bagi menuntut wang jaminan ibunya berjumlah 5 juta baht (RM597,341) dengan alasan wanita itu sudah meninggal dunia.

Dia mendakwa mayat ibunya sudah dibakar pada 28 Februari lalu tetapi ia gagal meyakinkan hakim di Mahkamah Agung yang mengarahkan satu siasatan dijalankan.

Selepas tertekan dengan siasatan polis, Juree akhirnya menyerah diri kepada polis pada Selasa lalu.

Juree didapati bersalah merancang pembunuhan bakal menantunya, Riewprae Chotikarn di daerah Khuan Niang di Songkhla pada 13 Disember 2007.

Riewprae yang hamil tiga bulan maut ditembak pembunuhan upahan, 16 hari sebelum di dijadual berkahwin dengan anak lelaki Juree, Wikrom. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:21 AM