FOTO yang tular menunjukkan mayat wanita itu dibawa dengan motosikal.
FOTO yang tular menunjukkan mayat wanita itu dibawa dengan motosikal.
Agensi

New Delhi: Akibat kekurangan ambulans, mayat si ibu terpaksa dibawa ke pusat pengebumian dengan menggunakan motosikal.

Itu situasi menyayat hati yang berlaku di India yang kian meruncing dengan krisis gelombang kedua Covid-19.

Dalam rakaman video yang tular, mayat wanita itu diapit anak dan menantunya di atas sebuah motosikal.

Dalam rakaman video yang dimuat naik seorang anggota polis itu, pemuda itu, Narendra berkata ibunya, G Chenchu, 50, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.

Katanya, dia terpaksa mengangkut mayat ibunya menggunakan motosikal kerana ketiadaan ambulans.

Memetik Times of India, pada awalnya Narendra dan iparnya, Ramesh membawa ibu mereka ke hospital di Palasa.

"Ibu saya sempat diberikan rawatan di sana.

"Tetapi meninggal dunia selepas disahkan positif Covid-19," katanya.

Katanya, mereka sekeluarga cuba membawa pulang mayat ibunya untuk dikebumikan di kampung yang jaraknya 15 kilometer.

"Namun, akibat tiada ambulans, saya dan Ramesh terpaksa membawa mayat ibu dengan menggunakan motosikal dengan cara mengapitnya di antara badan kami," katanya.

Kes harian baharu Covid-19 di India kini mencecah lebih 40 peratus daripada kes harian baharu dunia.

Negara itu merekodkan kes harian global tertinggi dengan 385,000 kes dalam tempoh 24 jam pada Jumaat dengan 3,500 kematian.

Ia menyebabkan hospital sesak dengan pesakit, pusat pengebumian pula dipenuhi mayat pesakit Covid-19 yang menunggu untuk dibakar selain masalah kekurangan ambulans.

1hmayat: Tangkap layar mayat seorang wanita di India diangkut menggunakan motosikal oleh anak dan menantunya. FOTO agensi

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 10:58 AM