Pasukan keselamatan Thailand membantu penduduk terjejas banjir di Wilayah Phatthalung di Selatan Thailand. Foto AFP
Pasukan keselamatan Thailand membantu penduduk terjejas banjir di Wilayah Phatthalung di Selatan Thailand. Foto AFP
BERNAMA

Songkhla: Hujan lebat berterusan menyebabkan sembilan wilayah di selatan Thailand dilanda banjir yang mengorbankan tiga nyawa serta menjejaskan 261,253 keluarga, setakat semalam.

Wilayah terjejas ialah Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Trang, Songkhla, Pattani, Narathiwat, Satun dan Yala berikutan hujan lebat sejak 25 November lalu.

Nakhon Si Thammarat muncul wilayah paling teruk terjejas akibat bencana itu.

Gabenornya, Kraisorn Wisitwong, berkata kesemua 23 daerah di Nakhon Si Thammarat dilanda banjir yang menjejaskan kira-kira 500,000 penduduk.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri pula memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha, mengarahkan agensi berkaitan dan pihak berkuasa tempatan untuk terus memantau, khususnya di kawasan berisiko banjir.

"Perdana Menteri mahu pihak berkuasa mempercepatkan proses bantuan dan pemindahan mangsa banjir jika perlu," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand meramalkan hujan lebat melanda Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Ranong, Phang-nga, Phuket, Krabi, Trang dan Satun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 3:05 PM