JUREE
JUREE
Agensi

Bangkok: Seorang wanita ‘hidup semula’ dan menyerah diri kepada polis semalam bagi berdepan hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh bakal menantunya sendiri.

Juree Jan-ngam, 72, menyerah diri selepas cuba menipu kematiannya bagi mengelak dikenakan hukuman kerana membunuh seorang ahli farmasi, Riewprae Chotikarn.

Riewprae, 26, yang hamil tiga bulan ditembak mati di kliniknya di daerah Khuan Niang, Songkhla pada 13 Disember 2007, 16 hari sebelum mangsa dijadual melangsungkan perkahwinan dengan anak lelaki Juree, Wikrom.

Serangan itu turut menyebabkan seorang pembantu klinik maut akibat terkena peluru sesat.

Ahli perniagaan kaya itu merancang membunuh Riewprae kerana tidak bersetuju dengan perkahwinan berkenaan.

Sebelum perbicaraan bermula, Juree dilapor pernah menawar 2 juta baht (RM244,226) kepada keluarga Riewprae supaya kes berkenaan ditarik.

Juree dituduh mengupah seorang lelaki, Narin Janchay, 36, untuk membunuh bakal menantunya itu.

Kedua-dua mereka kemudian didapati bersalah membunuh wanita itu dan dihukum mati oleh mahkamah.

Juree yang dalam proses rayuan dibenarkan ikat jamin sebanyak 5 juta baht (RM610,565) tetapi terus menghilangkan diri selepas dibebaskan.

Pada Februari tahun lalu, anak perempuan Juree, Rassamee memohon mahkamah mengembalikan wang jaminan ibunya dengan alasan wanita itu sudah meninggal dunia.

Rassamee turut mengemukakan sijil kematian dan mendakwa mayat wanita itu sudah dibakar.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, Juree dilihat berada di Hat Yai menyebabkan polis melancarkan operasi memburu wanita itu semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:08 AM