Kim Swee bersalam dengan Mahdi  selepas sidang media sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang UAE di Wisma FAM. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Kim Swee bersalam dengan Mahdi selepas sidang media sempena perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia menentang UAE di Wisma FAM. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Oleh Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Pengendali sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee berharap anak buahnya dapat menutup saingan tahun ini dengan keputusan positif biarpun mengakui ia bukan mudah apabila berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam esok.

Katanya, selepas beberapa keputusan buruk diraih pasukan kebangsaan termasuk dibelasah 0-6 oleh Palestin Khamis lalu, beliau menuntut kebangkitan pemain bagi aksi terakhir Malaysia di pentas antarabangsa tahun ini.

"Ini perlawanan terakhir pasukan kebangsaan tahun ini jadi saya berharap kita dapat menebus kekecewaan dengan keputusan lebih baik," kata Kim Swee pada sidang media hari ini.

Pertemuan dengan UAE esok adalah aksi ketujuh kelayakan Kumpulan A dan juga aksi terakhir tahun ini buat Harimau Malaya sebelum menyambung kempen kelayakan itu Mac tahun depan bertemu Arab Saudi.

Hanya keajaiban diharapkan boleh dilakukan Harimau Malaya apabila terpaksa beraksi di gelanggang kosong esok menentang lawan yang pernah mengaibkan mereka 10-0 di Abu Dhabi pada 3 September lalu.

Sementara itu, jurulatih UAE Mahdi Ali yakin anak buahnya sudah melakukan persiapan terbaik untuk menundukkan Malaysia.

"Perlawanan esok cukup penting buat kami. Kami perlu menang untuk layak ke pusingan seterusnya dan saya percaya dengan persiapan yang kami lakukan ia mampu dilakukan," katanya.

Selepas lima perlawanan skuad The Whites mengumpul 10 mata di tangga kedua manakala Malaysia yang sudah mengharungi enam perlawanan dikedudukan keempat dengan empat mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 November 2015 @ 8:16 PM