Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Trauma akibat ditumbuk dan dipukul pengarah, Azma Aizal Yusoof, pelakon dan penyanyi Ika Nabella, 26, nekad menarik diri daripada meneruskan penggambaran drama Dawai Asmara terbitan Suhan Movies.

Ika atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim membuat keputusan itu beberapa hari selepas insiden terbabit yang berlaku pada 2 November lalu.

"Selepas membuat laporan polis tempoh hari, saya sudah menyatakan hasrat nak tarik diri, tapi pihak penerbit meminta saya pertimbangkan keputusan itu.

"Namun, selepas berfikir banyak kali saya tetap dengan pendirian. Mereka juga tak menghalang. Bagi saya, ini adalah jalan terbaik tambahan pula saya masih trauma dengan kejadian itu," katanya.

Difahamkan drama 20 episod itu kembali meneruskan penggambarannya selepas tertangguh lebih seminggu.

Menurut Ika, dia tidak pasti siapa menggantikan tempatnya begitu juga dengan status pengarahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 9:49 AM