HARISS
HARISS
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Hariss Harun menyifatkan FELDA United mampu memberikan kejutan dan sehubungan itu, menuntut rakan sepasukan supaya berwaspada pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Larkin, malam esok.

Bagi Hariss, impian untuk melakar kemenangan ketika berdepan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim mampu dilakar jika setiap pemain Johor DT mengekalkan disiplin tinggi sepanjang 90 minit perlawanan.

Katanya, aksi itu harus ditamatkan dengan keputusan memihak kepada Johor DT pada masa penuh perlawanan kerana jika diheret sehingga masa tambahan atau penentuan penalti mungkin boleh merosakkan peluang mereka ke separuh akhir.

“Kesempatan beraksi di laman sendiri memberi kami ruang untuk memburu kemenangan dan setiap pemain perlu lebih agresif kerana FELDA United kemungkinan bakal turun dengan corak permainan berbeza.

“Nadi utama FELDA United adalah Zah Rahan Krangar yang bijak menyusun strategi dengan umpanan bola mengelirukan dan kami tidak boleh membiarkan dia menguasai perlawanan.

“Yang penting, harus bersabar dan mengelak daripada beraksi dalam tekanan kerana jika tertekan kemungkinan lawan boleh ambil kesempatan untuk menghukum kesilapan kami,” katanya.

Hariss yang dipilih Pemain Terbaik Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) baru-baru ini tidak menafikan aksi suku akhir pertama di Stadium Selayang, Selasa lalu agak goyah kerana beraksi dalam tekanan terutama pada babak pertama.

Hariss berharap situasi itu tidak berulang di Larkin nanti kerana perlawanan itu bakal menjadi penentu pasukan mana akan layak ke separuh akhir.

“FELDA United pasukan kuat dan kami tidak boleh memandang ringan keupayaan mereka. Malah, kami sering berdepan kesukaran untuk menewaskan mereka.

“Kami kena beraksi lebih 100 peratus jika mahu ke melangkah lebih jauh lagi,” kata Hariss.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 9:04 AM