AZIZUL perlu konsisten perbaiki ranking.
AZIZUL perlu konsisten perbaiki ranking.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang diharapkan meneruskan aksi konsisten dalam baki empat kejohanan bagi merealisasikan impian layak ke Olimpik Rio tahun depan.

Empat kejohanan berkenaan membabitkan dua siri Piala Dunia di New Zealand (5 dan 6 Disember) dan Hong Kong (16 dan 17 Januari 2016), Kejohanan Berbasikal Asia (25 hingga 30 Januari 2016) dan Kejohanan Trek Dunia (24 hingga 28 Februari 2016).

Menerusi ranking terbaru kelayakan ke Rio yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) Isnin lalu, pelumba berkenaan berada pada kedudukan kelapan dalam acara keirin dengan 468 mata.

“Dia perlu memungut banyak lagi mata untuk mengukuhkan kelayakan ke Rio. Dia masih mempunyai empat kejohanan untuk berjuang dengan yang terakhir adalah Kejohanan Trek Dunia Februari tahun depan,” menurut entri laman sosial facebook rasmi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Bagi kelayakan individu acara keirin dan pecut, hanya sembilan pelumba terbaik layak ke Rio dengan negara yang sudah melayakkan diri menerusi acara pecut berpasukan dan kuota benua diambil kira.

Bagaimanapun, dalam acara pecut Azizul berada pada kedudukan ke-35 dengan 161 mata.

Pelumba wanita negara Fatehah Mustapa berada pada kedudukan ke-14 dengan 357 mata dalam acara keirin dan tempat ke-22 untuk pecut.

Dalam acara lebuh raya, Malaysia berada pada kedudukan ketujuh dengan 185 mata dengan kelayakan ke Rio adalah untuk tempat keempat teratas bagi Asia.

“Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya tiga kejohanan untuk disertai sebelum kejohanan kelayakan ke Rio ditutup pada 31 Disember.

“Peluang untuk melayakkan diri kali ini ternyata masih jauh,” menurut entri berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:09 AM