Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara Fatehah Mustapa (kiri) meletakkan sasaran melangkah ke pusingan akhir acara keirin pada saingan Piala Dunia di Hong Kong hujung minggu nanti.

Pelumba Terengganu berusia 26 tahun itu dalam misi mengutip mata untuk melayakkan diri ke Olimpik Rio.

“Saya tidak boleh komen lagi mengenai pungutan mata, selepas Kejohanan Trek Dunia di London pada Mac baru saya akan mengetahui kedudukan akhir.

“Namun tumpuan terlebih dulu perlumbaan di Hong Kong, saya akan menyertai acara keirin dan pecut individu. Sasaran keirin adalah melangkah ke final,” jelas pelumba yang berpangkalan di Melbourne itu.

Menjelang baki tiga kejohanan untuk menentukan kelayakan ke Olimpik Rio, Fatehah berada pada kedudukan ke-14 serta tangga ke-23 dalam acara pecut.

Selain Fatehah, tiga lagi pelumba negara ke Hong Kong ialah Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Shahrom dan Jupha Somnet.

“Saya perlu lebih berwaspada dan tidak terlalu yakin kerana ramai negara menghantar pelumba untuk persediaan ke Kejohanan Trek Dunia nanti.

“Namun saya tetap berharap peluang cerah untuk melangkah ke final acara keirin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:48 AM