JIJOE sedia jadi wakil tunggal ke Tokyo 2020. FOTO Eizairi Shamsudin
JIJOE sedia jadi wakil tunggal ke Tokyo 2020. FOTO Eizairi Shamsudin
Azlan Muhammad Zain


Jaguh trek negara, Azizulhasni Awang bersedia untuk tampil sebagai wakil tunggal berbasikal ke Olimpik Tokyo sekiranya perancangan tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Skuad trek negara kendalian ketua jurulatih dari Australia, John Beasley meletakkan harapan untuk melayakkan diri dalam acara pecut berpasukan sekali gus membuka peluang kepada dua tiket tambahan bagi acara keirin dan pecut individu.

Bagaimanapun persembahan kurang menyerlah pada Kejohanan Trek Dunia di Poland dua minggu lalu menyebabkan gandingan Azizulhasni bersama-sama Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis ketinggalan pada kedudukan ke-14.

Manakala peluang untuk meraih tiket menerusi kategori wanita terutamanya Fatehah Mustapa dilihat tipis apabila tidak dihantar menyertai kejohanan utama tahun ini.

“Sekiranya tidak menjadi (pecut berpasukan), saya fokus acara individu dengan peluang pingat adalah menerusi keirin. Cuma jika dapat meraih tiket pecut berpasukan, pelumba muda turut berpeluang tampil buat kali pertama di Olimpik,” katanya.

Bagaimanapun pemenang gangsa Olimpik Rio terbabit masih belum berputus asa dengan menjelaskan mereka perlu muncul juara Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2020 di Korea Selatan pada Oktober selain konsisten sekurang-kurangnya tempat kelapan di setiap siri Piala Dunia bagi meraih mata sebanyak mungkin.

Malaysia berada di kedudukan ke-14 mengumpul 2317.5 mata dalam pecut berpasukan dengan hanya lapan pasukan terbaik meraih tiket automatik ke Tokyo.

Bagi acara individu peluang lebih cerah apabila Malaysia kini di kedudukan kelima acara keirin dengan 3,355 mata manakala tempat ke-14 dengan 1,450 mata dalam pecut individu.

Skuad berbasikal trek negara mula mara ke Olimpik pada Beijing 2008 menerusi acara pecut berpasukan disusuli acara individu pada edisi 2012 dan 2016 menyaksikan penampilan Azizulhasni dan Fatehah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:46 PM