Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Hasrat pelumba trek negara Azizulhasni Awang (gambar) untuk memastikan tiket ke Sukan Olimpik Rio dalam acara pecut individu semakin pasti direalisasikan.

Menurut ranking kelayakan terbaru Olimpik yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) selepas berakhirnya siri Piala Dunia di Hong Kong minggu lalu, Azizulhasni kini hanya ketinggalan 17 mata untuk muncul dua pelumba terbaik Asia bagi menempah tiket automatik ke Rio.

Dia berada pada kedudukan ke-33 dengan 210 mata untuk menjadi pelumba ketiga terbaik Asia, hanya ketinggalan 17 mata kepada pelumba Jepun Seiichiro Nakagawa (227 mata) manakala pelumba China Chao Xu unggul tempat pertama dengan 417 mata.

Manakala tiket keirin untuk Azizulhasni ke Rio hanya menunggu tarikh tutup untuk disahkan dengan The Rocketpocket Man muncul pelumba terbaik Asia dengan 542 mata di kedudukan lapan terbaik.

“Sememangnya kedudukan ini (acara pecut individu) memberikan keyakinan dan selesa. Jarak mata semakin dekat dengan peluang sangat cerah.

“Saya perlu pastikan sentiasa mendahului pelumba Jepun itu menjelang Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) minggu depan,” kata Azizulhasni.

Namun dia menegaskan situasi semasa tidak akan membuatkan dirinya lalai dan tetap fokus.

“Saya tidak boleh ambil mudah walaupun peluang cerah. Saya perlu terus berusaha dengan keras dan gigih. Saya harap dengan sokongan padu dan doa rakyat Malaysia, saya akan meraih kedua-dua tiket itu,” ujarnya.

ACC yang berlangsung di Jepun minggu depan serta Kejohanan Trek Dunia di London pada Mac ini menjadi dua medan terakhir pelumba trek mengutip mata untuk layak ke Olimpik Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 7:18 AM